SERAMAI 68 orang guru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bakal terlibat dalam program pendidikan untuk kanak-kanak rumah amal Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang sedang mendapat perlindungan pihak berkuasa.
KPM dalam kenyataannya berkata program pendidikan yang bermula 1 Oktober ini dirangka khusus untuk memberi akses pendidikan formal dan berstruktur kepada kanak-kanak terlibat bagi mengelakkan keciciran pembelajaran.
“Bagi memenuhi keperluan pendidikan untuk kanak-kanak yang tidak pernah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan, program ini menggunakan Kit Program Transisi Tahun 1 dan Modul Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA).
“Kit ini memberi penekanan kepada aspek sosioekonomi, kognitif dan fizikal kanak-kanak bagi membina keyakinan diri dan seterusnya sebagai persediaan holistik termasuk penguasaan literasi dan numerasi,” katanya.
Tambahnya program pendidikan tersebut merupakan kerjasama di antara KPM dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Jelasnya lagi modul yang digunakan turut menerapkan elemen yang dapat meningkatkan kesedaran tentang potensi diri.
“Selain itu, ia dapat memupuk keseimbangan kanak-kanak ini dari aspek jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek (JERSI) sebagai persediaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana pembelajaran secara positif dan seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi suasana pembelajaran baharu.
“Selaras dengan agenda Pendidikan Manusiawi, KPM komited memastikan kanak-kanak terlibat mendapat peluang pendidikan terbaik dan tiada yang terpinggir,” ujarnya. – WILAYAHKU