Berita

6,140,012 juta pelancong lawat Putrajaya sehingga Mei 2023

FADLUN (tiga kanan) ketika mempromosikan salah satu pameran pelancongan di PTF2023.
- Diterbit 16 Jun 2023 6:15 AM MYT

PERBADANAN Putrajaya (PPj) memantapkan lagi usaha dalam mempromosikan sektor pelancongan selari dengan visi ke arah Putrajaya Mampan 2025 dan Global City 2040 menerusi penganjuran Putrajaya Travel Fair (PTF) 2023 yang diadakan di Angsana Johor Bahru Mall baru-baru ini.

Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud berkata program dengan kerjasama Tourism Malaysia serta rakan-rakan strategik produk pelancongan Putrajaya tersebut merupakan peluang terbaik untuk mempromosikan daya tarikan serta keunikan yang terdapat di pusat pentadbiran negara Malaysia itu.

“Putrajaya mempunyai identiti tersendiri dengan seni bina bangunan menarik, jambatan ikonik, seni bandar dan landskap yang terancang.

“Selaras dengan konsep pembangunan bandar raya dalam taman, pembangunan Putrajaya secara langsung mempunyai potensi pelancongan yang baik serta perlu dipromosi dengan strategi yang berkesan menerusi persepakatan kerjasama bersama agensi awam, swasta, komuniti serta para pengusaha pelancongan tempatan,” ujar beliau ketika Majlis Perasmian PTF2023.

Menurut Fadlun, Putrajaya telah mencatatkan kehadiran seramai 6,140,012 pelancong, pelawat dan pengunjung acara setakat bulan Mei pada tahun ini berbanding 4,969,793 pada tahun 2022.

“Peningkatan sebanyak 23.6 peratus ini adalah satu pencapaian yang dapat memberi semangat kepada semua penggiat industri pelancongan Putrajaya dan juga motivasi kepada kami pihak perbadanan sendiri.

“Pihak kami mengharapkan sektor ini akan terus berkembang maju dan secara langsung pelancongan Putrajaya dapat menyumbang ke arah merancakkan lagi percutian domestik negara dengan merangkumkan Putrajaya sebagai salah satu destinasi cuti-cuti Malaysia,” ujar Fadlun.

Beliau juga memaklumkan pihaknya turut menyiapkan Blueprint Pelancongan Putrajaya 2032 bagi memantapkan lagi hala tuju dan inisiatif serta promosi pelancongan Putrajaya.

“Terdapat sebanyak 48 pelan tindakan inisiatif pelancongan yang akan dan perlu dijayakan bersama dengan semua pengusaha pelancongan, agensi awam serta swasta dan juga komunti setempat,” tambahnya semua program dan inisiatif yang dilaksanakan merupakan sasaran merealisasikan Putrajaya sebagai Destinasi Mesti Dilawati (A Must Visit Destination) dalam percutian pelawat domestik dan juga destinasi pelancongan antarabangsa.

Dalam masa sama, Fadlun berharap pihaknya mampu mewujudkan dan mengumpul lebih banyak lagi penyertaan ‘tourism product owners’ Putrajaya dalam menjayakan program seumpamanya demi memantapkan sektor pelancongan Putrajaya.

Selain itu, pihak PPj dengan kerjasama Tourism Malaysia juga turut menganjurkan Program Putrajaya Travel Mart yang berkonsepkan Business To Business (B2B) dengan mempertemukan pengendali pelancongan dari Putrajaya bersama pembeli berpotensi dari Johor, Singapura dan Batam bertujuan mempromosikan destinasi, produk serta pakej-pakej pelancongan kepada kira-kira 80 wakil agensi pelancongan dan industri.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk merancakkan promosi pelancongan dan menawarkan tarikan-tarikan terbaharu di Putrajaya yang meliputi produk ekopelancongan, agropelancongan, gastronomi dan segmen pelancongan minat khas.

Terdahulu, PTF2023 turut dimeriahkan dengan 13 reruai pameran pelancongan yang terdiri daripada Taman Tema EduPelancongan terbaharu iaitu Wetland Studios Putrajaya, GL@W Putrajaya, Putrajaya Lake Recreation Centre, Taman Ekuestrian Putrajaya, Taman Warisan Pertanian, Cruise Tasik Putrajaya, Taman Botani Putrajaya, Galeri Putrajaya Story, Hotel Pulse Grande, Hotel The Everly dan produk-produk di bawah PutraKop. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas