Atlet Wilayah

61 atlet Para SUKMA Kuala Lumpur buru emas di Sarawak

- Diterbit 20 September 2024 11:34 AM MYT

KUALA Lumpur akan menghantar seramai 61 orang atlet yang akan bertanding dalam sembilan acara sukan di Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Zaliha berkata walaupun 70 peratus daripada mereka adalah atlet baharu, namun beliau percaya dengan bimbingan jurulatih dan dedikasi yang telah diberikan, mereka mampu melakukan yang terbaik.

“Saya yakin kontinjen kita ini akan memberikan persaingan sengit di Sarawak nanti,” katanya di Facebook.

Para SUKMA 2024 di Kuching, Sarawak akan bermula 22 hingga 28 September ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir ke Majlis Penutupan Kem Akhir dan Penyerahan Kontinjen Para SUKMA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang bakal beraksi pada Kejohanan Para SUKMA di Sarawak.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata komitmen dan penglibatan semua yang ada pada majlis itu mencerminkan kesungguhan kontinjen untuk mencipta sejarah dengan pencapaian yang membanggakan di Sarawak nanti.

Beliau berkata Para SUKMA itu merupakan antara kejohanan yang menjadi platform untuk mengetengahkan bakat-bakat baharu dalam kalangan atlet Orang Kurang Upaya (OKU).

“Melalui penyertaan ini, kita bukan sahaja mendidik masyarakat tentang inklusiviti, malah juga memperkukuhkan sokongan terhadap golongan OKU dalam sektor sukan.

“Saya ambil contoh, Cheah Liek Hou, anak kelahiran Kuala Lumpur telah mencipta sejarah dengan memenangi emas pertama Malaysia dalam sukan para badminton di Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini.

“Ini membuktikan bahawa tiada perkara yang mustahil, yang penting tekad dan usaha yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Tambah Zaliha, Paralimpik Los Angeles pada 2028 nanti, beliau ingin melihat lebih ramai lagi bintang Wilayah Persekutuan dihasilkan daripada Kejohanan Para SUKMA pada kali ini.

“Di penghujung ucapan, diiringi tepukan gemuruh, saya umumkan insentif buat atlet yang membawa pulang pingat emas, perak dan gangsa.

“Ada juga insentif yang Jabatan Wilayah Persekutuan bersetuju untuk berikan kepada jurulatih yang dapat membawa pulang emas kepada Wilayah Persekutuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas