Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

60 siswa UPM sertai Program Pertanian Tanpa Cangkul

AHLI Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim meninjau kebun komuniti selepas Majlis Penutup Program PTC di PPR Raya Permai
- Diterbit 28 Jun 2024 10:10 AM MYT

PENDIDIKAN terhadap pertanian merupakan antara usaha yang dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Local Agenda (LA) 21 dalam memberikan pendedahan terhadap sumber makanan yang diusahakan secara komuniti menerusi Program Pertanian Tanpa Cangkul (PTC).

Ketua Pegawai Perancang Bandar merangkap Urusetia LA21 Kuala Lumpur, Norazmin Adibah Othman berkata isu utama yang diketengahkan dalam program ini adalah penyelesaian masalah ketidakstabilan bekalan makanan yang berpunca daripada tahap kadar sara diri (SSL) yang rendah serta peningkatan jumlah produk makanan yang diimport.

“Stok makanan yang diimport seperti sayur-sayuran dan buah-buahan melibatkan penggunaan racun untuk mengekalkan kesegaran yang berisiko mengakibatkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan.

“Menerusi program ini, aktiviti bertani di rumah seperti menanam sayur-sayuran boleh memberikan hasil tanpa perlu dibeli dan ia dapat menjamin kualiti sayuran yang dihasilkan kerana penggunaan racun yang terkawal dan jenis baja yang digunakan sekali gus dapat menjaga kualiti hasil tanaman serta memastikan keselamatan makanan,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Menurut Norazmin, seramai 60 mahasiswa telah menyertai acara ini di tiga lokasi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) iaitu di PPR Hiliran Ampang, PPR Raya Permai dan Perumahan Awam Seri Perlis 2 dan ia tidak hanya tertumpu kepada aktiviti pertanian bandar, malah turut merangkumi Program Anak Angkat.

“Ketiga-tiga komuniti ini juga merupakan antara komuniti yang terlibat secara aktif dalam pelaksanaan program kebun kejiranan bandar LA21 Kuala Lumpur.

“Dalam inisiatif ini, mahasiswa dan mahasiswi UPM menetap bersama keluarga angkat mereka di PPR tersebut selama tiga hari dua malam dan ia bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar dengan masyarakat yang tinggal kawasan PPR/PA tersebut,” katanya.

Ujar Norazmin, menerusi program itu juga mahasiswa yang terlibat memperolehi pengalaman baru untuk merasai pengalaman bekeluarga angkat meski berada di bandar dan jauh daripada keluarga tetapi masih boleh merasai kasih sayang ibu dan ayah.

“Komuniti telah didedahkan dengan pertanian tanpa cangkul, khususnya menggunakan Unity Gardening Dram (UGD) dan pertanian vertikal serta mereka juga turut didedahkan berkenaan pertanian di kawasan bandar,” katanya.

Norazmin berkata peranan DBKL dan LA21 adalah dari segi pemilihan lokasi yang melibatkan komuniti yang aktif dalam melaksanakan program-program komuniti terlibat secara langsung dalam pertanian bandar di bawah Program LA21 KL.

Tambah beliau, projek ini dijalankan untuk membudayakan aktiviti pertanian dalam kalangan masyarakat bagi menyokong dasar sekuriti negara serta menjamin keselamatan makanan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas