Berita

60 pegawai penguat kuasa sertai Bengkel Kepimpinan Penguatkuasaan Jalan Raya

BARISAN pegawai penguat kuasa yang mengambil bahagian dalam latihan GRSP di Hotel InterContinental Kuala Lumpur, baru-baru ini.
- Diterbit 22 Disember 2023 10:40 AM MYT

SIKAP pengguna yang memandu melebihi had laju, melawan arus lalu lintas selain memintas penghadang jalan adalah antara punca berlakunya kemalangan di lebuh raya termasuklah di sekitar kawasan Bandaraya Kuala Lumpur.

Ekoran daripada keadaan itu, aspek keselamatan pengguna jalan raya terus menjadi fokus utama pelbagai pihak dan agensi berkaitan selaras dengan komitmen kerajaan untuk mencapai pengurangan minimum 50 peratus kadar kematian dan kecederaan akibat nahas jalan raya menjelang 2030.

Sehubungan itu, Bengkel Penguatkuasaan Keselamatan Jalan Raya yang memfokuskan tentang Kepimpinan Penguatkuasaan Jalan Raya telah dilaksanakan dengan melibatkan seramai 60 peserta terdiri daripada pegawai penguatkuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Diraja Malaysia (PDRM) cawangan Bukit Aman, JSPT Kuala Lumpur dan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melalui kerjasama bersama Global Road Safety Partnership (GRSP).

Bengkel kepimpinan ini diadakan dengan sokongan inisiatif oleh Bloomberg Philanthropies untuk Keselamatan Jalan Raya Global (BIGRS) dan diadakan selama dua hari pada baru-baru ini.

Penasihat Kanan Penguatkuasaan Jalan Raya GRSP, Russell Nyman berkata bengkel ini menumpukan terhadap perkongsian pengetahuan teknikal berhubung ‘Safe Systems’ untuk keselamatan jalan raya, bukti saintifik di sebalik dasar keselamatan jalan raya yang berkesan serta pengetahuan teknikal mengenai strategi penguatkuasaan jalan yang cekap.

“Ia merangkumi pelbagai topik antaranya Kepimpinan dalam Konteks Keselamatan Jalan Raya, Legitimasi dalam Penguatkuasaan, Pendekatan ‘Safe System’ untuk Keselamatan Jalan Raya dan Teori Pengekangan.

“Bengkel ini juga turut menekankan faktor risiko utama iaitu memandu laju serta membincangkan startegi alternatif yang berkesan untuk mengatasi isu penting ini,” ujar beliau yang mengendalikan bengkel tersebut bersama Pengurus GRSP Asia Pasifik, Brett Harman.

Menurut Russell Nyman, bengkel tersebut juga dilihat mampu memupuk hubungan kerja yang baik yang boleh diperluaskan dalam persekitaran operasi di samping berharap agar usaha berterusan oleh semua agensi terlibat dapat membantu mengurangkan kematian dan kecederaan serius akibat nahas jalan raya dapat dilaksanakan.

Dalam pada itu, Pensyarah Sains Pengurusan Krisis Bencana di Maktab PDRM KL, DSP Mohd Nadzir Othman berkata pihaknya akan berkongsi pengetahuan berharga ini dengan pegawai lain dan berharap PDRM, JSPT akan terus bekerjasama rapat dengan GRSP dalam pelaksanaan bengkel seumpama ini.

Terdahulu, Kuala Lumpur merupakan salah satu daripada 27 bandar dan dua negeri global yang mengambil bahagian dalam fasa ketiga BIGRS bagi tahun 2020 hingga 2025.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan sokongan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) juga komited untuk mengurangkan nahas dan kematian jalan raya melalui penguatkuasaan yang diperbaiki, pengumpulan data yang ditingkatkan, komunikasi yang berkesan serta reka bentuk jalan yang lebih selamat untuk semua. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas