Berita

60 artis veteran disantuni DBKL, YWP

SHAHIDAN (tengah) bertanya khabar pelakon veteran Johan Abdullah (dua dari kiri) yang menderita parkinson dalam Majlis Jalinan Kasih Artis Veteran pada Selasa.
- Diterbit 14 April 2022 6:30 AM MYT

MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyeru kepada semua pihak agar tidak meminggirkan artis veteran yang pernah mewarnai industri seni tanah air meskipun kebanyakan mereka kini sudah pun bersara atau tidak lagi aktif dalam industri tersebut.

Katanya, Kuala Lumpur sememangnya menjadi tumpuan hiburan warga kota sejak zaman dahulu lagi dan dengan kehadiran anak-anak seni sejak awal tahun 1970-an lagi, mereka telah meninggalkan banyak jasa dan membantu menghidupkan suasana di bandar raya ini.

“Sumbangan para penggiat seni tidak sesekali kita lupakan. Kerana merekalah, bandar raya ini dikenali sebagai kota yang penuh dengan hasil seni dinamik.

“Sisi kebudayaan dan kesenian itu secara tidak langsung juga telah mencipta ruang dan peluang untuk pembangunan dan pengukuhan penjenamaan bandar raya Kuala Lumpur sekali gus membantu memangkin peluang pekerjaan, pertumbuhan ekonomi dan pelancongan di bandar raya ini,” katanya ketika berucap di dalam Majlis Iftar Jalinan Kasih di sebuah hotel di ibu negara pada Selasa.

Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Datuk Zaizalnizam Zainun, Presiden Persatuan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave, Pemegang Amanah YKAT, Datuk (Dr) Yusof Haslam, Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez, Presiden Seniman, Zed Zaidi dan Presiden Yayasan Artis Veteran Malaysia (YAVM), Kismah Johar.

Pada majlis tersebut, kira-kira 60 artis veteran diraikan dalam majlis berbuka puasa dan mereka turut diberi sumbangan wang tunai yang disumbangkan oleh DBKL dan YWP.

Shahidan berkata, sebagai antara individu yang sering mendengar dan menonton persembahan yang dijayakan oleh artis-artis veteran ini pada suatu ketika dahulu, wajar untuk semua pihak mengenang tentang apa yang telah dilalui oleh golongan ini yang sanggup bersusah payah untuk menghiburkan rakyat Malaysia.

“Pada zaman yang serba canggih ini dimana banyak kemudahan yang ada, kita tidak boleh melupakan sumbangan mereka. Dalam usia mereka kini, dengan keuzuran mereka, maka kita harus ambil tahu mengenai keadaan artis veteran ini.

“Selepas memegang jawatan ini (menteri), saya mengambil tahu keadaan mereka supaya bantuan dapat disalurkan agar mereka boleh menjalani kehidupan dengan baik,” katanya.

Beliau juga telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk memperincikan keadaan setiap artis veteran termasuk lokasi tempat tinggal bagi memudahkan pihaknya untuk menziarahi mereka.

Insya-Allah, untuk majlis malam ini, dan ada yang tidak dapat hadir, saya akan datang ke tempat mereka untuk menyatakan rasa terima kasih kepada mereka.

“Kita juga akan meneruskan usaha-usaha begini selepas raya dan akan terus menemani golongan artis veteran ini kerana mereka tidak pernah jemu mendampingi kita melalui persembahan mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas