Berita

60 aktiviti bertaraf dunia

- Diterbit 13 September 2024 3:24 PM MYT

SEBANYAK 60 aktiviti termasuk pelbagai sukan air dan darat dianjurkan sempena Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya (KKPAP 2024) di Kompleks Futsal Presint 18‚ Putrajaya bermula 19 hingga 22 September ini.

Lebih menarik‚ karnival tahunan itu adalah penganjuran terbesar berbanding tahun sebelumnya kerana ia menggabungkan karnival sukan komuniti dan sukan air secara serentak.

Program yang dianjurkan selama empat hari itu bertujuan untuk mengukuhkan integrasi sosial dalam kalangan penduduk Putrajaya selain mengeratkan lagi jalinan hubungan baik antara Perbadanan Putrajaya (PPj) sebagai pihak berkuasa tempatan di Putrajaya.

Ikuti sesi wawancara eksklusif wartawan Wilayahku‚ SABRINA SABRE bersama Pengarah Perkhidmatan Komuniti dan Sukan, ALI JUSOH.

Pengenalan dan latar belakang ringkas KKPAP 2024?

Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya 2024 merupakan dua acara ikonik tahunan yang dianjurkan oleh PPj dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP).

Karnival Komuniti adalah acara yang diadakan untuk merapatkan hubungan antara komuniti dengan pemegang taruh di lokaliti Putrajaya. Karnival ini merupakan platform untuk komuniti Putrajaya khasnya mempromosikan aktiviti dan hasil produk yang dijayakan melalui Majlis Perwakilan Penduduk serta Persatuan Penduduk setempat.

Karnival ini diadakan dengan kerjasama komuniti Putrajaya‚ agensi kerajaan‚ badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta yang menyokong serta mempromosikan kegiatan komuniti.

Pesta Air Putrajaya pula merupakan acara dan aktiviti berbentuk pertandingan sukan air iaitu pertandingan perahu panjang pelbagai kategori‚ rowing dan sebagainya yang dianjurkan bagi memeriahkan serta memanfaatkan keindahan tasik Putrajaya.

Kedua-dua acara ini digabungkan dalam satu penganjuran bagi memastikan ianya dapat dinikmati dan dihadiri oleh lebih ramai peringkat umur dan pelbagai kumpulan pengunjung yang mungkin berminat dengan aktiviti komuniti atau acara sukan air. Ini dapat meningkatkan jumlah kehadiran dan memberikan peluang yang lebih besar untuk penyertaan.

Objektif dan matlamat keseluruhan karnival?

KKPAP pada tahun ini dirangka berkonsepkan mass infotainment merangkumi semua lapisan umur dan jantina komuniti Putrajaya.

Objektif penganjuran pula adalah sebagai wadah yang mengumpulkan semua aktiviti masyarakat bagi komuniti Putrajaya melalui penyertaan aktif di dalam penganjuran KKPAP mahupun sebagai pengunjung.

KKPAP juga bermatlamat untuk mengukuhkan interaksi sosial‚ memberikan dan mengetengahkan maklumat perkhidmatan PPj melalui pameran yang disediakan serta menyediakan pelbagai aktiviti dan pertandingan.

Selain itu‚ ia bertujuan untuk mempromosikan lokasi baharu bagi penganjuran acara untuk komuniti iaitu di Kompleks Futsal Presint 18 dan memeriahkan tasik Putrajaya sebagai lokasi utama bagi penganjuran sukan air di peringkat dalam dan luar negara sekali gus menjadikan Putrajaya sebagai pusat kecemerlangan sukan yang berprestij tinggi.

Apakah kelainan yang akan ditonjolkan selama empat hari ini?

Bagi komponen Karnival Komuniti‚ PPj telah merangka sebanyak 60 aktiviti yang akan berlangsung sepanjang empat hari tiga malam.

Antara aktiviti dan program yang diadakan adalah 35 pertandingan untuk pelbagai peringkat umur‚ Forum Perdana Hal Ehwal Islam‚ Konsert Aku dan Dia‚ Pameran 40 Agensi Kerajaan dan Swasta (Perkhidmatan/Jentera Penguat Kuasa/Bas Bergerak)‚ Jualan Rahmah MADANI‚ aktiviti kanak-kanak‚ 120 jualan dari Pasar Saloma‚ jualan usahawan Komuniti Putrajaya‚ OSCC Fun Run 2024‚ Malam Wow Zapin Putrajaya (Battle of Zapin), Showcase Dikir Madani #Gegar Nusantara/Gabungan tiga negara serta pelbagai Pocket Show/Talk.

Bagi komponen Sukan Air Putrajaya 2024‚ tarikan utama adalah pertandingan perahu panjang 250 meter (perahu 12 & 22 crew – L&P) bagi kategori Komuniti Sub Zon‚ Sekolah Menengah Putrajaya dan Agensi Jemputan Bagi Kejohanan Sukan Piala Presiden PPj.

Seterusnya‚ SOT (single & double – L&P) bagi kategori Sekolah Menengah Putrajaya‚ Komuniti Sub Zon termasuk Indoor Rowing bagi kategori Sekolah Menengah Putrajaya dan Terbuka Putrajaya.

Tidak ketinggalan‚ Kejohanan Sukan Piala Presiden (KSPP) antara agensi dan komuniti peringkat Putrajaya 2024 bagi acara futsal‚ bola jaring‚ sepak takraw dan dart turut diadakan.

Tarikan utama yang bakal menarik minat pengunjung?

Forum Perdana Hal Ehwal Islam: Acara yang dibawakan khas secara langsung menerusi RTM1 dengan kerjasama Bank Islam pada 19 September 2024 pukul 8.30 malam.

Konsert Aku dan Dia: Sebuah konsert berkonsepkan kerohanian yang melibatkan pelajar sekolah dari SMK Putrajaya 16 serta jemputan artis seperti Aris Ariwatan dan Zulhandy Black.

Selain itu‚ Jualan Pasar Saloma‚ pelbagai jenis jualan kopi‚ Jualan Usahawan Komuniti Putrajaya di bawah Kelab Usahawan Putrajaya yang diselia oleh PPj.

Seterusnya‚ Jualan Rahmah MADANI dengan kerjasama Angkatan Koperasi Malaysia (ANGKASA) bersama Koperasi Perbadanan Putrajaya (PutraKop), Battle Of Zapin: Kerjasama penuh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Wilayah dengan menampilkan sebanyak 32 kumpulan yang terawal mendaftar akan berentap dan merebut hadiah utama RM5‚000 untuk setiap kategori.

KKPAP juga menampilkan 40 pempamer agensi kerajaan dan swasta seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan aset-aset dari Perbadanan Putrajaya.

Lebih menarik‚ 300 cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal Yamaha Y15 V2‚ pakej-pakej percutian dan pelbagai barangan elektrik menanti pengunjung.

Untuk Sukan Air Putrajaya 2024 adalah Sukaneka Air antaranya tangkap itik‚ pukul bantal‚ meniti basikal dan lain lain.

Pendaftaran pada hari sukaneka air dijalankan secara online. Di samping itu‚ kita turut membuka Booth Decathlon untuk jualan barangan sukan air dan sukan yang lain.

Boleh ceritakan tentang aktiviti-aktiviti yang melibatkan kerjasama komuniti?

Hampir semua aktiviti-aktiviti yang dirangka oleh PPj akan melibatkan kerjasama komuniti Putrajaya melalui Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP)‚ Persatuan-Persatuan Penduduk Wilayah Persekutuan dan NGO di Putrajaya dari awal lagi. Mereka semua yang akan merancang dan melaksanakan sendiri aktiviti atau pertandingan untuk para pengunjung dengan tagline dari komuniti untuk komuniti.

Untuk makluman‚ di karnival nanti terdapat zon Laman Komunitiku‚ zon ini lah yang akan diuruskan oleh pihak komuniti Putrajaya sendiri. Dalam zon ini. Terdapat showcase kebudayaan (datangnya dari komuniti Putrajaya sendiri)‚ bengkel seni tari dan masakan seni warisan.

Rakan kerjasama dan strategik KKPAP 2024?

Rakan strategik utama pada tahun ini sudah semestinya adalah Bank Islam Malaysia Berhad yang sentiasa bersama-sama dalam KKPAP 2024. Seterusnya‚ MPPWP Putrajaya dan Persatuan Penduduk (penyertaan komuniti dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan).

Di samping itu‚ kerjasama daripada pelbagai kementerian dan agensi untuk membuka reruai‚ menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan setiap agensi untuk para pengunjung dan Persatuan Kanu Putrajaya & Persatuan Rowing Putrajaya – Pegawai Teknikal Pertandingan Pesta Air Putrajaya.

Sasaran pengunjung bagi KKPAP 2024?

KKPAP menyasarkan seramai 100‚000 pengunjung. Walaupun nama karnival ini adalah Karnival Komuniti dan Pesta Air Putrajaya‚ namun sebenarnya ia adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia.

Untuk maklumat lanjut‚ orang ramai boleh layari media sosial kami Facebook @Perbadanan Putrajaya; X @putrajayacorp; Instagram‚ YouTube dan TikTok @perbadananputrajaya serta melalui laman sesawang PPj di www.ppj.gov.my.

Jangan lupa untuk hashtag kami pada setiap hantaran anda iaitu #KKPAP2024; #karnivalkomuniti; #pestaairputrajaya dan #indahnyaputrajaya. – WILAYAHKU

ALI JUSOH, Pengarah Perkhidmatan Komuniti dan Sukan PPj
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas