JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) Labuan berjaya menahan seramai 58 Pendatang Tanpa Izin (PATI) sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Pengarahnya, Raymond Entalai berkata hasil penahanan itu direkodkan berdasarkan daripada 252 operasi dan pemeriksaan yang dijalankan kepada 1,058 individu di sekitar pulau itu.
Katanya, pihaknya turut merekodkan sebanyak 71 pemindahan banduan dan 24 tahanan Imigresen menerusi 21 siri pemindahan bagi tujuan pengusiran balik ke negara asal.
“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah.
“Kita juga akan mengambil tindakan tegas terhadap pendatang asing tanpa izin dan majikan yang menggaji tanpa dokumen sah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Raymond turut memaklumkan pihaknya telah memperkenalkan program Kad Pengenalan Pekerja Asing (I-Kad) bagi melancarkan proses pengenalan pekerja asing bermula 14 Jun lalu.
Dengan inisiatif itu, kira-kira 1,015 pekerja asing bakal menerima manfaat itu.
“Berdasarkan rekod sehingga hujung Jun lalu, kita telah mengeluarkan sebanyak 25 I-Kad kepada majikan di Labuan.
“Walau bagaimanapun, untuk memohon inisiatif ini hanya untuk warga asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi tempoh 12 bulan sahaja,” ujarnya.
Raymond berkata inisiatif I-Kad yang diperkenalkan itu menawarkan kepada pekerja dalam enam sektor iaitu peladangan, pembuatan, perkhidmatan dan pembantu rumah. – WILAYAHKU