Berita

5,734 hantaran sentuh isu 3R diturunkan

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 29 November 2024 9:45 AM MYT

PENYEDIA platform telah menurunkan kira-kira 5,734 hantaran media sosial yang menyentuh isu 3R (Royal, Race, Religion) daripada tahun 2022 sehingga 1 Oktober 2024.

Kementerian Komunikasi berkata bagi tindakan penguatkuasaan pula, sebanyak 145 kes berkaitan 3R telah disiasat dan daripada jumlah tersebut sebanyak tujuh kes telah didakwa oleh Jabatan Peguam Negara dan empat kes telah dikenakan hukuman daripada pihak mahkamah.

“Tindakan penguatkuasaan yang dilaksanakan bukanlah menyekat kebebasan bersuara tetapi untuk menjaga keseimbangan antara kebebasan bersuara dan perlindungan masyarakat secara keseluruhan, seterusnya menjamin keharmonian serta kesejahteraan negara,” katanya dalam jawapan lisan di Parlimen.

Menurut Kementerian Komunikasi, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara dengan menyebarkan kandungan yang menyentuh isu kaum, agama dan institusi diraja ataupun 3R.

“Dalam hal ini, kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bekerjasama erat dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menguatkuasakan Akta Komunikasi dan Multimedia [Akta 588].

“Kementerian juga akan menguatkuasakan undang-undang lain sedia ada seperti Kanun Keseksaan [Akta 574] dan Akta Hasutan 1948 [Akta 15] di bawah bidang kuasa PDRM,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas