SEBANYAK 57,276 penerbangan daripada keseluruhan 315,388 jumlah penerbangan berjadual telah dibatalkan tahun ini, setakat Ogos lalu.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, antara punca pembatalan penerbangan adalah disebabkan komersial seperti muatan rendah (poor loads) selain masalah operasi syarikat penerbangan.
Menurut beliau, ia merangkumi kekurangan anak kapal, ketibaan lewat pesawat, putaran pesawat (aircraft rotation), keadaan luar biasa seperti cuaca, kawalan trafik udara dan masalah teknikal seperti Aircraft On Ground (AOG).
“Berdasarkan data, sebanyak 20 peratus atau 90,696 penerbangan daripada 444,234 jumlah penerbangan berjadual telah dibatalkan pada 2023.
“Dan, sebanyak 18 peratus atau 57,276 penerbangan daripada 315,388 jumlah penerbangan berjadual telah dibatalkan pada tahun ini, setakat Ogos lalu.
“Ini menjadikan bilangan penerbangan yang beroperasi pada 2023 adalah berjumlah 353,838 penerbangan dan bilangan penerbangan yang beroperasi pada tahun ini setakat Ogos, adalah berjumlah 258,112,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai isu-isu penerbangan melibatkan syarikat penerbangan tempatan.
Beliau berkata, buat masa ini, syarikat-syarikat penerbangan negara telah menyediakan perkhidmatan penerbangan domestik bagi laluan ke Sabah, Sarawak dan Labuan sebanyak 1.42 juta tempat duduk.
Katanya, Malaysia Airlines Berhad (MAB) telah mengurangkan sebanyak 95,906 tempat duduk bermula Ogos sehingga Disember ini.
“Walau bagaimanapun syarikat-syarikat penerbangan AirAsia, AirAsia X dan Batik Air telah menambah kapasiti sebanyak 139,578 tempat duduk bagi menampung kekurangan tersebut,” katanya.
Tambahnya, pembatalan sementara bagi penerbangan yang terjejas dari Ogos hingga Disember ini sudah dimaklumkan kepada penumpang dan segala proses pemakluman itu kebanyakannya telah selesai.
“Kini MAB beroperasi seperti biasa dan hanya membatalkan penerbangan apabila berlaku force majeur iaitu apabila keperluan untuk membatalkan penerbangan jika ia melibatkan keselamatan berpunca daripada cuaca buruk atau nasihat penguat kuasa penerbangan tempatan dan antarabangsa di antara laluan udara tertentu,” katanya.
Beliau memberitahu, berdasarkan data Januari hingga Ogos lalu, sejumlah 24 peratus atau 61,014 daripada 258,116 penerbangan yang dioperasikan oleh syarikat-syarikat penerbangan Malaysia telah ditangguhkan.
Katanya, 55,024 daripada jumlah 61,014 penerbangan tersebut ditangguhkan kurang daripada dua jam daripada waktu perlepasan yang dijadualkan dan baki selebihnya 5,990 penerbangan telah ditangguhkan melebihi dua jam. – WILAYAHKU