LEBIH 55,000 potholes telah dibaiki berdasarkan rekod bagi sepanjang tahun 2024 bagi sepanjang jaringan Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.
Menurut KKR, berdasarkan rekod tampalan potholes bilangan potholes yang telah dibaiki adalah sebanyak 3955 bilangan potholes bagi sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia.
“Selain itu, sebanyak 51,949 bilangan potholes bagi sepanjang jaringan Jalan Persekutuan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan telah diperbaiki,” katanya.
KKR berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) di parlimen semalam.
KKR berkata usaha berkenaan dibuat menerusi Program Aku Janji Zero Potholes yang diadakan pada Tahun 2020 antara Kementerian Kerja Raya, Jabatan Kerja Raya dan Syarikat Konsesi Jalan Persekutuan.
“Program ini juga adalah kesinambungan kepada Program Zero Potholes yang telah diperkenalkan pada tahun 2016.
“Ia merupakan inisiatif memperkukuhkan komitmen Kementerian ini terhadap penyampaian perkhidmatan penyenggaraan Jalan Persekutuan,” katanya.
Menurut KKR, program ini telah ditambah baik dengan pelaksanaan dan pemantauan yang lebih efisien melalui Sistem Aplikasi Pemantauan Potholes secara atas talian.
“Sistem ini dibangunkan bagi pemantauan status kerja penampalan potholes Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia secara atas talian melalui penggunaan aplikasi di telefon bimbit, tablet dan komputer.
“Sistem ini bertujuan untuk memastikan setiap tindakan pembaikan dilaksanakan dalam tempoh 24 jam (kerja tampalan sementara) atau dalam tempoh tiga hari (kerja tampalan kekal) selepas kerosakan dikenal pasti atau selepas aduan diterima, selari dengan Piagam Pelanggan Kementerian Kerja Raya Malaysia dan Kontrak Perjanjian Penswastaan Penyenggaraan Jalan Persekutuan.
“Setiap kerja penampalan jalan yang dilaksanakan perlu mematuhi spesifikasi dan prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya Malaysia,” katanya.
Katanya lagi, KKR melalui JKR sentiasa komited dalam memastikan Jalan Persekutuan sentiasa dalam keadaan yang selamat dan selesa digunakan dengan menjalankan kerja-kerja penyenggaraan rutin secara berjadual sepanjang tahun. – WILAYAHKU