Berita

53 kes berkaitan halal direkodkan, rampasan RM1.81 juta

- Diterbit 18 Oktober 2024 11:54 AM MYT

SEBANYAK 53 kes direkodkan berkaitan isu halal termasuk penggunaan logo palsu dan tidak menggunakan perakuan daripada pihak berkuasa berwibawa dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ia melibatkan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM1.81 juta.

Untuk itu tegasnya, pihak kementerian berharap semua pihak dapat mematuhi perundangan yang sedang berkuat kuasa terutama berhubung isu halal.

“Kementerian akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pihak yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Armizan berkata, bagi syarikat, mereka boleh didenda tidak melebihi RM200,000 jika didapati tidak mematuhi isu berkaitan halal.

Katanya, bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

“Bagi individu, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau menambah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melaksanakan pindaan ke atas Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 berhubung penambahan senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, pindaan dilakukan bertujuan untuk mengemas kini senarai badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM dalam Jadual Kedua, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Menurut beliau, JAKIM telah mengiktiraf tambahan lima badan pensijilan halal luar negara, masing-masing satu dari Brazil, Mongolia dan Uruguay manakala dua adalah dari Russia.

“Penambahan ini menjadikan jumlah keseluruhan badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf oleh JAKIM adalah sebanyak 88 pihak berautoriti merangkumi 49 buah negara di seluruh dunia.

“Pindaan Jadual Kedua di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011 telah diwartakan pada 4 Oktober dan mula berkuat kuasa pada 5 Oktober lalu,” katanya.

Katanya, KPDN berharap agar dengan pewartaan pindaan ini dapat memperkasa perundangan dan industri halal negara selain melindungi kepentingan pengguna terutama yang beragama Islam. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas