SEBANYAK 131,036 panggilan daripada orang ramai direkodkan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) sejak Oktober 2022 hingga September lalu yang melaporkan mengenai sindiket penipuan dalam talian.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kula Segaran berkata, daripada jumlah itu, 52,836 panggilan merupakan mangsa penipuan dengan jumlah kerugian RM302.1 juta.
Menurut beliau, untuk itu kerajaan telah meminda Akta 574 dan Akta 593 yang memfokuskan kepada mewujudkan kesalahan-kesalahan jenayah dalam talian berkaitan akaun keldai iaitu mule account.
“Selain itu, peruntukan baharu yang memberikan kuasa kepada pegawai polis untuk menyita wang yang disyaki terlibat dalam kegiatan jenayah yang disimpan dalam apa-apa institusi kewangan.
“Dalam hal ini, pindaan kepada Akta 593 antara lain telah memasukkan peruntukan baharu Seksyen 116D untuk memberi pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Sarjan kuasa untuk menyita atau melarang urusan dalam apa-apa wang yang dipegang dan disyaki untuk dipegang dalam mana-mana instrumen pembayaran atau mana-mana akaun di institusi kewangan dan mengadakan peruntukan bagi perkara yang berkaitan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai bila kerajaan akan memperkenalkan undang-undang yang memberikan kuasa kepada pihak polis atau bank menyekat sementara urus niaga perbankan bagi individu yang menjadi sasaran penipuan.
Kula Segaran berkata, pindaan tersebut juga membolehkan polis untuk tidak hanya menyita tetapi menghalang harta tersebut dibuat urus niaga lain.
Katanya, ia dengan tujuan menghalang duit mangsa penipuan dikeluarkan daripada mule account dan seterusnya akan melengkapi peruntukan sedia ada iaitu Seksyen 435 berkenaan kuasa polis menyita harta yang disyaki telah dicuri (termasuk penipuan) yang lebih menjurus kepada harta fizikal.
“Dalam keadaan ini, pihak polis boleh menghalang sekiranya mempunyai alasan munasabah untuk mengesyaki bahawa suatu kesalahan telah dilakukan selain mempunyai alasan munasabah mengesyaki bahawa harta telah digunakan atau bertujuan untuk digunakan bagi melakukan suatu kesalahan.
“Atau, mempunyai alasan munasabah untuk mempercayai bahawa harta tersebut merupakan bukti bagi suatu kesalahan,” katanya. – WILAYAHKU