PROSES pembuatan piza menggunakan ketuhar batu bukan lagi perkara asing apabila ramai pengusaha memilih cara tradisional ini bagi menghasilkan piza yang lebih lembut dan rangup.
Begitu juga dengan pengasas Alla Piccola Italia (API) Pizza, Siti Rafitah Rakhimi, 38, yang lebih memilih teknik tradisional berbanding ketuhar elektronik bagi piza yang dihasilkannya.
Lebih unik dan menarik lagi bahan-bahan yang digunakan bagi menyediakan makan popular dari Itali itu diterbangkan khas dari negara tersebut.
“API Pizza menggunakan tepung import di mana tekstur ‘grind’ yang sangat halus membuatkan roti piza lebih anjal dan gebu manakala sos tomato pula daripada jenis ‘San Morzano’ yang berkualiti tinggi dari Itali.
“Pizza Neapolitan ini juga menggunakan tiga jenis keju iaitu mozarella, colby dan red cheddar untuk rasa cheese yang sangat enak selain bahan-bahan premium untuk topping seperti pastrami beef, streaky beef, beef brisket, roast beef, ground beef dan lain-lain.
“Roti Sour doh piza adalah dibuat segar dan menggunakan teknik ‘slow fermentation’ selama 48 jam yang menghasilkan doh yang lebih mudah untuk dihadam dan tidak mudah merasa bloated, lebih berperisa dan ringan berbanding doh piza yang biasa,” katanya kepada Wilayahku.
Berkongsi mengenai idea pembukaan API Pizza, Siti Rafitah berkata ia adalah inspirasi hasil daripada percutiannya ke luar negara sekitar tahun 2016.
“Dari segi resipi pula ia melalui pemerhatian dan pengalaman saya sendiri ketika makan di restoran dalam mahupun luar negara. Selain itu, kita juga melakukan penyelidikan sendiri melalui internet dan secara trial dan error,” ujarnya kemahiran yang bagus diperlukan untuk penyediaan serta rasa yang berbeza dari piza-piza komersial.
Katanya sehingga kini komen yang diterima daripada pembeli sangat positif dan rata-ratanya mengakui kualiti makanan yang dipersembahkan pada tahap terbaik bersesuaian dengan harga.
“Antara menu pilihan ramai adalah beef sambal hitam, fresh buffalo mozarella pizza, spicy prawn dan supreme beef. Kita juga menawarkan seasonal pizza iaitu piza durian,” jelasnya harga yang ditawarkan untuk 18 jenis piza dan pasta bermula dari RM12 sehingga RM35.
Memasuki tahun keempat perniagaannya, Siti Rafitah mengimpikan untuk membuka sebuah restoran yang selesa buat pelanggan yang sentiasa menyokong API Pizza.
“Ada pelanggan yang menzahirkan untuk merasa makan piza dan pasta dalam bangunan berhawa dingin serta tidak kena tempias hujan. Insya-Allah saya sedang merancang ke arah itu,” katanya.
HANYA MAKAN MASA DUA MINIT
HANYA sekitar dua minit masa yang diperlukan untuk membakar sekeping piza pada suhu antara 300 hingga 400 darjah selsius berbanding antara lapan hingga 10 minit untuk sekeping piza jika menggunakan ketuhar elektronik.
“Rasa piza yang dibakar menggunakan ketuhar batu bata dan elektrik sangat berbeza. Aroma piza yang dibakar secara tradisional lebih wangi dan teksturnya juga lebih lembut biarpun sudah disimpan semalaman,” ujarnya API Pizza menggunakan ketuhar batu yang ditempah khas berharga RM23,000.
Sehingga kini API Pizza mempunyai lima cawangan iaitu di Food Truck Presint 14 dan Presint 2, Putrajaya, Tapak Urban Cyberjaya, Tapak Evo City Petaling Jaya dan Gua Lepak Batu Caves yang beroperasi pada Selasa hingga Ahad bermula 5 petang sehingga 12 tengah malam.