Berita

506 Taska tidak berdaftar dikesan

- Diterbit 4 Disember 2024 10:47 AM MYT

SEBANYAK 506 taman asuhan kanak-kanak (Taska) tidak berdaftar telah dikesan dan berada di bawah tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), mengikut data sehingga 31 Mei tahun ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memberitahu, untuk itu pelbagai pendekatan telah diambil termasuk notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan selaras dengan peruntukan Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984.

Menurutnya, tindakan dilakukan antaranya lak atau sita, kompaun serta pendakwaan.

“Berdasarkan keputusan terhadap kertas siasatan yang dibuka dan selesai dilengkapkan, sehingga September lalu, sebanyak 14 buah Taska telah dikenakan tindakan lak dan dua kes telah didakwa di
mahkamah sejak 2020,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai bilangan Taska yang dikesan tidak berdaftar di bawah JKM.

KPWKM menambah, pihaknya melalui JKM memandang serius berkaitan isu-isu melibatkan kes berkaitan kecuaian, pengabaian dan penderaaan kanak-kanak yang berlaku di Taska.

Menyedari kepentingan dan keperluan kawal selia tersebut, KPWKM sentiasa menekankan kepentingan sesebuah Taska untuk berdaftar dan serta disusuli dengan elemen penguatkuasaan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah akta berkaitan.

“Taska yang berdaftar bukan sahaja boleh memastikan kualiti dan standard asas perkhidmatan yang disediakan oleh premis dan pengasuh tetapi juga dapat mengurangkan risiko berlakunya kecuaian dan penderaan terhadap kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu jelas KPWKM, ada juga sesetengah Taska yang sebenarnya menepati standard minimum pengoperasian seperti ditetapkan JKM, tetapi tidak berdaftar kerana pelbagai faktor.

Antaranya jelas kementerian itu, kesukaran menepati syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berbeza antara satu kawasan PBT dengan yang lain.

“Bagi Taska yang berdepan dengan situasi sebegini, kita mengambil pendekatan untuk membantu mereka
dengan memberi khidmat nasihat serta melaksanakan inisiatif memudahcarakan proses memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan serta PBT.

“Perkara ini dilakukan melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) di peringkat negeri dan daerah,” katanya.

Tambah KPWKM, antara September 2023 hingga Oktober tahun ini, sebanyak 234 Taska telah berjaya dibantu sehingga lulus pendaftaran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas