SEJUMLAH 506 kes kesalahan membabitkan isu 3R (agama, bangsa dan institusi diraja) telah disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tempoh 2022 sehingga 30 September lalu.
Demikian dinyatakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Menurut kementerian itu, daripada jumlah tersebut, sebanyak 42 kes telah dituduh di mahkamah.
“Perincian berkaitan kesalahan kesalahan yang melibatkan isu 3R dan diguna pakai KDN melalui PDRM pada masa ini adalah berpandukan kepada perundangan semasa seperti Akta Hasutan 1948, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
KDN menjawab soalan Dr Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) mengenai jumlah kes 3R yang disiasat dan didakwa di seluruh negara.
KDN menambah, di bawah Akta Hasutan 1948, sebarang perbuatan atau kenyataan yang mempunyai kecenderungan menghasut merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 3 (1).
Katanya, perkara yang dikategorikan sebagai kecenderungan menghasut antaranya adalah mendatangkan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan.
Bagi Kanun Keseksaan pula katanya, sebarang perbuatan atau perkataan yang boleh mencetuskan ketidakharmonian agama akan disiasat di bawah Seksyen 298 (iaitu kesalahan berkaitan dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan agama seseorang).
Ia turut merangkumi Seksyen 298A (kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni).
“Selain daripada itu, Seksyen 505 juga memperuntukkan kesalahan bagi kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.
“Secara spesifik, Seksyen 505(c) adalah berkaitan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain,” katanya.
Tambahnya, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 pula, Seksyen 211 (larangan terhadap pemberian kandungan jelik) dan Seksyen 233 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian) boleh diambil terhadap pihak menyalahgunakan internet jika menyebarkan kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau yang jelik. – WILAYAHKU