DALAM usaha menangani lambakan pendatang asing tanpa izin (PATI) di pulau ini, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Labuan berjaya melaksanakan sebanyak 502 operasi sejak Januari hingga Disember 2024 yang membabitkan pemeriksaan ke atas 2,163 individu.
Menurut Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai, seramai 111 PATI dan 20 majikan ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, setakat ini seramai 73 PATI didakwa di mahkamah manakala dua warga asing telah diusir balik ke negara asal.
“Usaha dalam membanteras PATI di Labuan akan dipertingkatkan dan ia menjadi keutamaan JIM Labuan,” katanya.
Dalam pada itu, Raymond turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas yang sah, menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
Katanya, tindakan pendakwaan juga akan dikenakan terhadap mana-mana majikan atau pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“JIM Labuan menasihatkan para majikan supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini dengan mengikuti saluran berlandaskan undang-undang yang telah ditetapkan,” katanya.
Sehubungan itu, JIM Labuan menyeru orang ramai untuk bersama-sama memberikan sebarang maklumat atau aduan menerusi talian 087-421 296 atau sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di pautan berikut https://imi.spab.gov.my/eApps/system/index.do ataupun melalui e-mel [email protected]. – WILAYAHKU