Berita

500,000 baucar berjaya ditebus.. Program Baucar Buku MADANI Fasa 2 terus dapat sambutan hebat

- Diterbit 30 Disember 2024 4:28 PM MYT

PROGRAM Baucar Buku MADANI Fasa 2 mendapat sambutan hebat dari kalangan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan  apabila hampir 500,000 baucar berjaya ditebus.

Pelaksanaan baucar buku bernilai RM100  anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini telah bermula pada 30 Oktober baru-baru ini sehingga esok (31 Disember 2024).

Program Baucar Buku MADANI Fasa 2 yang bernilai RM100 untuk pelajar Institusi Pengajian Tinggi diilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadir.

Program baucar buku yang dilancarkan pada 29 Oktober 2024 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Zambry Abdul Kadir, bertujuan untuk menyokong keperluan akademik pelajar IPT dengan memberikan akses yang lebih mudah kepada bahan bacaan yang berkualiti.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Yayasan Perkasa Siswa (YPS) bersama MySiswaPlace, sambutan menggalakkan ini jelas menunjukkan keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan.

“Penebusan baucar yang dijalankan melalui platform rasmi MySiswaPlace, adalah selari dengan visi Menteri Pendidikan Tinggi untuk menyediakan pusat sehenti digital bagi memudahkan pelajar mengakses pelbagai perkhidmatan.

“Program ini bukan hanya mempermudah pembelajaran mahasiswa, tetapi juga memperkukuh ekosistem pendidikan di seluruh negara.

“Platform ini telah mencatatkan peningkatan trafik yang luar biasa sejak pelancaran program, mencerminkan sambutan dan penerimaan tinggi pelajar terhadap inisiatif ini.

“Data terkini menunjukkan hampir 500,000 baucar berjaya ditebus, dengan 60% daripadanya merupakan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 29% dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), dan 10% dari pelajar di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).

“Peningkatan kadar penebusan ini bukan sahaja menunjukkan tahap kesedaran tinggi pelajar tentang manfaat program ini, tetapi juga mencerminkan komitmen mereka dalam memanfaatkan inisiatif yang disediakan untuk meningkatkan kualiti pendidikan mereka,” katanya.

PENEBUSAN Program Baucar Buku MADANI Fasa 2 yang bernilai RM100
dijalankan melalui platform rasmi MySiswaPlace.

Dalam masa yang sama, kejayaan ini turut disokong oleh lebih daripada 900,000 naskhah buku fizikal dan langganan e-buku yang berjaya dijual melalui platform MySiswaPlace.

Ini melibatkan kerjasama dengan lebih daripada 300 syarikat penerbit, pengedar, dan penjual buku di seluruh negara.

“Koleksi bahan bacaan yang ditawarkan merangkumi pelbagai genre dan bidang, daripada buku akademik hingga bahan rujukan profesional dan novel, yang sesuai dengan keperluan pendidikan pelajar IPT.

“Dengan sokongan meluas daripada komuniti penerbit dan pengedar, program ini bukan sahaja menyediakan akses kepada bahan bacaan berkualiti, tetapi juga membantu memperkukuh industri penerbitan tempatan.

“Jumlah penjualan dijangka akan terus meningkat dengan signifikan, terutama menjelang tarikh akhir program penebusan baucar buku pada 31 Disember 2024.

“Permintaan yang tinggi daripada pelajar di seluruh negara mencerminkan keberkesanan usaha ini dalam memudahkan akses kepada bahan bacaan serta menyokong perkembangan budaya membaca dalam kalangan mahasiswa,” tambahnya lagi.

PROGRAM Baucar Buku MADANI Fasa 2 bertujuan untuk menyokong keperluan akademik pelajar IPT dengan memberikan akses yang lebih mudah kepada bahan bacaan yang berkualiti.

Pelajar IPT di seluruh negara masih berpeluang untuk menebus Baucar Buku MADANI Fasa 2 melalui portal rasmi MySiswaPlace di mysiswaplace.my sehingga 31 Disember 2024.

Mahasiswa digalakkan untuk memanfaatkan peluang ini sebelum tarikh akhir yang semakin hampir. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas