SERAMAI 500 penerima daripada golongan memerlukan menerima sumbangan bakul makanan dalam Majlis Penyampaian Bantuan Deepavali Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dianjurkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Majlis yang disempurnakan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin di Auditorium Menara DBKL 1 merupakan usaha yang dijalankan bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir terutamanya mereka yang memerlukan bantuan.
Menurut Azman bantuan yang disampaikan bukan sekadar material semata-mata tetapi tanda sokongan dan perhatian terhadap mereka memerlukan khususnya pada saat penting seperti sambutan perayaan.
“Terima kasih kepada YWP di atas usaha murni dalam menganjurkan majlis ini. Diharapkan sumbangan ini dapat membantu meringankan beban dan memberi sedikit sinar harapan dalam menghadapi kehidupan yang mencabar.
“Semoga penerima dapat merasai nikmat perayaan yang pebuh bermakna sekali gus membawa kebahagiaan, ketenangan dan kemakmuran kepada penerima. Selamat Menyambut Deepavali kepada seluruh masyarakat Hindu khususnya yang berada di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujar beliau ketika berucap dalam majlis tersebut.
Sementara itu, YWP berharap sumbangan itu bukan sahaja dapat meringankan beban tetapi menjadi simbol perpaduan dan keprihatinan bersama. Dalam majlis tersebut, penerima terpilih menerima sumbangan bakul makanan dan sumbangan tunai sebanyak RM200,000 dengan jumlah keseluruhan bantuan bernilai RM150,000.
Terdahulu, majlis dilaksanakan dengan kerjasama erat Majlis Belia Wilayah Persekutuan, Persatuan Belia Hindu, Majlis Belia India Malaysia dan Persatuan Kebajikan Senyuman Kasih. – WILAYAHKU