Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Biz

500 peluang pekerjaan menanti OKU

- Diterbit 28 Jun 2024 12:00 PM MYT

DALAM usaha untuk meningkatkan taraf kehidupan dan perniagaan orang kurang upaya (OKU), mereka diberi peluang pekerjaan sepenuh masa untuk menghasilkan sejuta pek biskut.

Projek yang dikendalikan DMG Food Industry Sdn Bhd dengan kerjasama Dewan Perniagaan OKU Malaysia direalisasikan melalui Program Sejuta Kasih MyKu-Kiss.

Pengurus Besar DMG, Datuk Dr Hassan Saad berkata ia melibatkan nilai jualan kira-kira RM5.9 juta, yang mana sebahagian daripadanya akan disumbangkan kepada Dewan Perniagaan OKU untuk manfaat kumpulan memerlukan.

“Produk biskut jenama MyKu-Kiss ini dijual di semua segmen peruncitan termasuk dalam talian pada harga RM5.90 sekotak dan kami akan turut menghantarnya ke semua cawangan Dewan Perniagaan OKU di seluruh negara untuk diedarkan.

“Kami yakin produk ini akan mendapat sambutan baik dengan sokongan ahli Dewan Perniagaan OKU dan bercadang untuk memperluaskan lagi projek-projek kerjasama seumpama ini untuk memberi manfaat kepada kumpulan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Sejuta Kasih MyKu-Kiss baru-baru ini.

Tambah Hassan, ia juga memberi peluang kepada usahawan OKU bagi menonjolkan bakat serta kemahiran mereka.

“Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada golongan tersebut untuk bekerjasama dengan pihak industri.

“Kita juga mahu menonjolkan bakat serta kemahiran golongan OKU ke persada ekonomi negara bagi bersama melonjakkan sektor ekonomi dalam bidang makanan dan peruncitan,” jelasnya.

Menurut Hassan, program tersebut turut menawarkan peluang kepada 500 OKU untuk menjadi rakan strategik pemasaran runcit di seluruh Malaysia.

“Kita juga mahu mewujudkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 500 OKU seluruh negara untuk menjadi rakan strategik pemasaran kita.

“Mereka akan bekerjasama dengan lebih 1,000 kedai runcit, stesen minyak, pasar mini dan pasar raya,” ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Isaiah D. Jacob berkata beliau mahu golongan OKU diberi peluang untuk terus berbakti kepada masyarakat selain meneruskan kelangsungan kehidupan.

“Kami bukan meminta simpati tetapi kami meminta sokongan semua pihak agar golongan OKU dapat diberi peluang.

“Dalam masa sama, kita juga mahu membuktikan bahawa golongan OKU juga mampu tampil sebagai orang berkemampuan dalam pelbagai bidang seperti insan normal yang lain,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas