Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

500 pelajar sekolah sekitar KL terima bantuan cermin mata percuma

- Diterbit 27 Jun 2024 1:12 PM MYT

SERAMAI 500 pelajar dari lima buah sekolah rendah sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerima bantuan cermin mata percuma dalam Program Permata Hati Wilayah 2024.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) melalui flagship Sihat @ PUJI dan Ilmu @ PUJI.

Program ini adalah hasil kerjasama di antara Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Yayasan Komuniti Negara, UiTM dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata objektifnya adalah untuk menangani masalah kesihatan mata dalam kalangan kanak-kanak sekolah rendah.

“Kajian yang dilaksanakan melalui program Amblyopia & Visual Impairment Screening (AVIS) mendapati 30 peratus kanak-kanak pra sekolah di Malaysia mengalami masalah penglihatan.

“Kajian tersebut turut mendapati bahawa kanak-kanak tersebut tidak mengetahui bahawa mereka sedang mempunyai masalah kesihatan.

“Sehubungan itu, isu kesihatan mata penting untuk ditangani dari sekarang bagi memastikan murid-murid sekolah mendapat peluang yang baik untuk pelajaran dan mengubah nasib keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikan selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2024 di Sekolah Kebangsaan Bukit Pantai hari ini.

Tambah Zaliha, program tersebut merupakan manifestasi komitmen PUJI untuk menyediakan ekosistem ‘exit strategy’ kepada kemiskinan di Wilayah Persekutuan.

“Melalui pemberian cermin mata percuma kepada 500 murid sekolah rendah dari lima buah sekolah yang terlibat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Pantai, SK Desa Tasik, SK Setiawangsa, SK Wangsa Maju Seksyen 1 dan SK La Salle.

“Program ini diharapkan dapat memberi kesan jangka pendek, sederhana dan panjang yang signifikan.

“Untuk memastikan keberkesanan program ini, pemantauan terhadap progres akademik dan self esteem murid tersebut akan dilaksanakan secara berterusan selama enam bulan sehingga Disember 2024 oleh UiTM dan guru-guru sekolah yang terlibat,” ujarnya.

Sementara itu, Zaliha turut memaklumkan seramai 3,000 orang murid Tahap 1 di 5 buah sekolah tersebut akan menjalani saringan kesihatan mata secara percuma. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas