Berita

50% diskaun bayaran tol sempena Tahun Baharu Cina

- Diterbit 24 Januari 2025 3:54 PM MYT

MESYUARAT kabinet bersetuju memberikan potongan tol 50% sempena Tahun Baru Cina bermula 12.01 tengah malam pada 27 Januari iaitu Isnin dan berakhir 11.59 malam 28 Januari.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, diskaun diberikan kepada kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).

“Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50% sempena Tahun Baharu Cina selaras dengan agenda kerajaan dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat.

“Ini didukung oleh kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh hasil program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan.

“Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma musim perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya iImplikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada Syarikat Konsesi Tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08juta.

“Pemberian ini merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang telah sekian kalinya diberikan oleh Kerajaan Madani bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak tahun 2023.

“Sepanjang tempoh tersebut, kerajaan membelanjakan sebanyak RM356.18 juta sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas