Berita

47 sindiket ‘counter setting’ ditumpaskan

- Diterbit 16 Oktober 2024 12:28 PM MYT

SEBANYAK 47 sindiket ‘counter setting’ ditumpaskan setakat Oktober ini melibatkan 1,285 tangkapan ahli sindiket dan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Perkara itu dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengenai langkah tegas kerajaan dalam menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi tersebut.

Menurut beliau, tindakan itu dilakukan hasil usaha sama Jabatan Imigresen dan pelbagai agensi penguat kuasa.

“Kita juga perketatkan pemeriksaan di kaunter-kaunter pintu masuk bagi memastikan mereka yang layak sahaja masuk negara ini, yang tidak layak kita tolak.

“Ertinya kita berikan notis Not To Let (NTL) atau nota penolakan masuk. Sehingga September tahun ini, kita kenakan NTL kepada warga asing seramai 25,214. Yang bertugas di kaunter imigresen ini, kita tingkatkan pemantauan, kesediaan ke atas mereka.

“Kita pertingkatkan rondaan, kita pantau melalui CCTV (kamera litar tertutup) di bilik kawalan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai sindiket berkenaan yang turut didalangi penguat kuasa agensi yang bertugas di pintu masuk udara.

Saifuddin berkata, selain itu penyelia turut ditugaskan untuk membuat lawatan mengejut ke kaunter-kaunter dan pegawai yang bertugas di kaunter juga tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi.

“Sebelum dia bertugas dan selepas dia keluar, kita lakukan body search ke atas mereka.

“Bukan sekadar dikenalkan NTL di pintu masuk, bahkan Imigresen juga sudah pun mewujudkan pasukan khas yang membuat rondaan sebelum daripada pengembara ini pergi ke kaunter Imigresen.

“Jika pasukan ini mengesan mereka ini berlama-lama, lima, enam, tujuh, lapan jam masih tidak pergi ke kaunter, bermaksud sedang tunggu isyarat daripada sindiket, nak maklum mereka kaunter mana mereka patut pergi,” katanya.

Katanya, hasil daripada pasukan rondaan, setakat September tahun ini, seramai 6,694 orang pengembara disekat daripada masuk kerana tiada alamat di Malaysia dan wang tidak mencukupi.

“Jabatan Imigresen dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta agensi penguat kuasa yang lain sentiasa meningkatkan usaha untuk membanteras sindiket ini, yang membawa masuk pekerja asing secara haram melalui kerjasama strategik sesama mereka,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas