SEJUMLAH 46 lokasi blackspot dikenal pasti di lebuh raya utama iaitu kawasan yang kerap berlaku kemalangan jalan raya.
Demikian amaran berhati-hati dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman kepada pengguna jalan raya khususnya bagi mereka yang pulang ke kampung termasuk keluar berhari raya.
Dalam pada itu, 76 lokasi blackspot pula dikenal pasti melibatkan jalan Persekutuan, jalan negeri, jalan bandaran dan lain-lain jalan.
Antara kawasan blackspot adalah di Jalan Kuching, Lebuhraya DUKE, Lebuhraya MRR2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Jalan Cheras, Lebuhraya Besraya dan Jalan Ipoh.
Lokasi lain, Jalan Kepong, Jalan Loke Yew, Jalan Syed Putra, Jalan Tun Razak, Lebuhraya MEX, Lebuhraya Sprint, Lebuhraya SUKE, Lebuhraya LDP, Persiaran Kewajipan dan Johor Bahru Selatan.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata antara laluan blackspot yang sering mencatatkan kemalangan maut adalah di Kilometer (KM) 31 Pekan Semenyih (Selangor) dan Jalan Kuching (Kuala Lumpur).
Begitu juga katanya di Jalan Alor Setar-Butterworth, Jalan Lencongan Timur, Jalan Gurun-Kepala Batas dan Jalan Sungai Petani-Baling.
Jelasnya di Selangor, antara lokasi blackspot adalah Jalan Sungai Buloh-Jalan Kuala Selangor, KM41-KM58 Teluk Intan-Klang, Pekan Kuala Selangor, Pekan Tanjung Karang dan Jalan Kuala Selangor-Rawang.
“Selain itu di Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya LKSA, Persiaran Tengku Ampuan Rahimah, Jalan Pelabuhan Barat dan Pekan Kapar (Jalan Klang-Teluk Intan).
“Lain-lainnya di Jalan Sepang-Sungai Pelek, Jalan Sepang-Salak, Lebuhraya KLIA Extension, KM12-KM31 Jalan Klang-Banting-Port Dickson serta Lebuhraya SKVE,” katanya kepada Wilayahku.
Beliau menambah pihaknya juga mengenal pasti lokasi blackspot di Bulatan Batang Kali (jalan lama Kuala Lumpur-Ipoh), Jalan LTSAAS dan Jalan Ampang-Kuala Lumpur.
Katanya seramai 7,000 pegawai dan anggota JSPT akan ditugaskan dalam Op Selamat sempena perayaan Aidilfitri ini.
Jelas beliau sejumlah 2.2 juta kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya utama di seluruh negara sempena cuti perayaan itu.
Dalam pada itu beliau menekankan kepada ibu bapa terhadap pemantauan serta penegasan aspek keselamatan kanak-kanak dan remaja yang didapati memandu kenderaan atau menunggang motosikal tanpa lesen.
Sepanjang musim perayaan tahun lepas katanya sebanyak 545 saman dikeluarkan terhadap golongan itu mengikut Seksyen 2691) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (kesalahan tiada lesen memandu).
Katanya satu saman dikeluarkan kepada mereka yang berusia 12 tahun diikuti lapan saman (remaja 13 tahun); 37 saman (remaja 14 tahun); 90 saman (remaja 15 tahun); 179 saman (remaja 16 tahun) dan 230 saman melibatkan remaja berusia 17 tahun.
Ditanya mengenai jumlah saman ketika Op Selamat sempena Aidilfitri 2023 dan tahun lalu, katanya ia mencatatkan peningkatan ketara dengan melibatkan 355 jenis kesalahan.
“Bagi Op Selamat sempena Aidilfitri 2023, sejumlah 56,805 saman dikeluarkan dan ia meningkatkan kepada 120,713 saman pada tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, 35,841 saman belum dijelaskan pada 2023 manakala 94,964 saman belum dijelaskan pada tahun lalu,” katanya.
Mohd Yusri berkata pihaknya juga melakukan pemantauan udara dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengawasi kesesakan lalu lintas di lebuh raya serta jalan utama yang dijangka mengalami peningkatan jumlah kenderaan.
Katanya operasi turut membabitkan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), PLUS Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela). – WILAYAHKU