MICROSLEEP adalah satu keadaan di mana individu tertidur atau hilang tumpuan pada jangka waktu singkat tanpa disedari oleh individu itu sendiri. Ianya boleh berlaku dalam pelbagai keadaan terutamanya jika individu yang sedang melakukan sesuatu yang mendatar atau monotonous.
Definisi microsleep adalah terlelap antara 0.5 hingga 30 saat, tanpa menyedari, tanpa amaran dan pelaku sentiasa percaya bahawa dia tidak terlelap. Sering kali kelihatan tersengguk-sengguk di ruang menunggu, di dalam kelas, mendengar ceramah, membaca buku, menonton televisyen dan paling merbahaya adalah ketika memandu.
Antara tanda-tanda individu tersebut mengalami microsleep adalah menguap tersengguk-sengguk, kelopak mata tertutup atau mata kuyup, mata kelip-kelip, tatapan kosong (blank stare) dan kurang responsif terhadap ‘external stimuli’ seperti lori besar atau selekoh. Ng Boyle etal (transport research part F Traffic psychological beahviour, 2008 March) dalam kajiannya menunjukkan sewaktu microsleep individu menunjukkan deteriorasi dalam pemanduan terutamanya di selekoh dan lupa kejadian di saat akhir sebelum terlelap.
Difahamkan ianya terjadi apabila badan berasa letih otak akan tertidur beberapa saat, walaupun mata terbuka dan tangan memegang stering. Satu kajian terhadap tikus yang kurang tidur (sleep deprived) menunjukkan saraf otak, tidur di satu bahagian, sementara bahagian otak yang lain masih sedar. Keadaan ini menyebabkan individu tidak sedar bahawa dia telah terlelap.
Menurut Pakar Otorinolaringologi (ORL) yang juga Clinical Sleep Health Educator, Dr Saraiza Abu Bakar, antara penyebab microsleep adalah tidak cukup rehat contohnya melakukan pelbagai tugasan dan kerja tambahan, tidak cukup tidur yang boleh memberi kesan terhadap kualiti tidur seseorang seperti penyakit tidur berdengkur berapnea (OSA).
“Selain itu masalah insomni , jadual tidur tak menentu kerana bekerja shif dan jet lag (setelah merentasi garisan zon waktu) juga menyebabkan masalah tidak cukup tidur. Terlalu penat ‘severe exhaustion’, seperti membuat kerja-kerja rumah, menjaga bayi kecil atau lain-lain tugasan.
“Penggunaan ubat-ubatan yang boleh menyebab mengantuk seperti antihistamin, ubat tidur benzodiazepine, ubat epilepsy, sebahagian ubat jantung dan lain lain yang boleh meningkatkan microsleep,” katanya.
KOMPLIKASI
MENGULAS lanjut, Saraiza berkata ‘Obstruktif Sleep Apnea’ (OSA) atau penyakit tidur berdengkur berapnea adalah keadaan individu mempunyai masalah pernafasan sewaktu tidur ianya disebabkan oleh berdengkur dan terhenti nafas yang boleh menyebabkan kualiti tidur seseorang terganggu.
“Tidur yang terganggu (fragmented sleep) yang terjadi pada penghidap OSA boleh menyebabkan pelbagai komplikasi, antaranya adalah hipertensi, penyakit jantung koronari, aritmia jantung, Diabetes Mellitus 2.
“Selain penyakit fizikal, gangguan emosi dan memori juga boleh berlaku dan membebankan penderita selain kecenderungan kemalangan jalan raya yang disebabkan oleh microsleep. Jika OSA tidak dirawat segera ia boleh berakhir dengan strok dan kematian,” ujarnya.
Tambah Saraiza terdapat beberapa waktu pada ritma sirkadia yang menyebabkan seseorang mengantuk.
“Pada awal pagi antara 4 hingga 5 pagi dan lewat malam iaitu 12 tengah malam sehingga 2 pagi. Penurunan ritma sirkadia semula jadi 12 tengah hari sehingga 2 petang selepas makan tengah hari di mana ia boleh menyebabkan seseorang mengalami microsleep,” katanya.
Beliau yang juga merupakan penulis buku ‘The Miracle of Sleep’ memetik satu kajian Road Safety Charity Brake, yang dilakukan terhadap 1,000 pemandu, sebanyak 45 peratus (%) pemandu lelaki mengakui mengalami microsleep berbanding dengan hanya 22% sahaja wanita yang mengalaminya.
“Lelaki juga lebih berisiko mengalami OSA berbanding wanita, tetapi selepas menopaus risikonya hampir sama.
“Meskipun microsleep terjadi dalam tempoh kurang dari 30 saat, namun kesannya adalah sangat merbahaya sehingga mengorbankan banyak nyawa. Ia boleh berlaku bukan sahaja semasa memandu kenderaan tetapi juga semasa mengendali jentera berat, memberi administrasi ubat (injection) melakukan pembedahan dan pelbagai tugasan yang memerlukan konsentrasi tinggi.
“Sekiranya microsleep berlaku sewaktu tugasan ini ia boleh menyebabkan malapetaka yang merbahaya. Antara contoh yang ada dalam sejarah seperti waterfell train disaster 2003, di mana pemandu mengalami serangan jantung tetapi pembantunya dikatakan mengalami microsleep.
“Contoh lain adalah bencana Chernobyl Nuclear Reactor Ukraine 1983 April 26, berada dalam keadaan sleep deprived.
“Manakala di Malaysia pula adalah insiden kematian Pengasas Dnas ada kaitan dengan microsleep berikutan pemandu mengakui mengantuk ketika memandu dari kediamannya yang berlaku pada Mei 2019 dan pada 2 Disember 2020 seorang runner maut apabila motosikal yang ditunggang mangsa dilanggar oleh sebuah kereta di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban,” katanya selain yang dinyatakan terdapat pelbagai lagi insiden kemalangan yang dilaporkan akibat microsleep.
Berkongsi cara menghindari microsleep terutama bagi pemanduan, Saraiza berkata antaranya adalah berbual bersama teman atau mendengar radio buat mereka yang memandu sendirian, dapatkan siaran yang lebih energetic untuk mengelakkan rasa mengantuk.
“Sekiranya terpaksa bekerja atau melakukan tugasan berat sebelum perjalanan panjang maka berhenti dan rehat secukupnya di Rehat dan Rawat (R&R) untuk tidur sekejap atau snek.
“Selain itu, pastikan tubuh tegak dan sedikit bergerak. Sekali sekala membuka tingkap untuk membenarkan ventilasi yang lebih segar.
“Mereka juga boleh mengambil vitamin C atau pemakanan berkhasiat seperti buah-buahan. Kita juga sering didoktrin dengan pengambilan kafein ia membantu menghilangkan rasa mengantuk namun hakikatnya ia hanya berkesan selepas 15 hingga 20 minit, banyak kajian menyarankan mengenai ‘coffee nap’ serta power nap,” pesannya pemandu juga tidak boleh mengambil sebarang ubatanyang menyebabkan mengantuk sebelum memandu atau mengendali jentera berat. – WILAYAHKU