SERAMAI 44,901 atau 4.6 peratus pegawai awam di dapati berisiko menghadapi masalah kesihatan mental berkaitan kemurungan, keresahan, penyalahgunaan bahan dan tingkah laku bunuh diri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah membangunkan Sistem Profiling Digital Kesihatan Psikologi Perkhidmatan Awam (MyPsyD) yang bertujuan untuk mengenal pasti tahap kesihatan psikologi pegawai.
“Pelaksanaan MyPsyD ini melibatkan 40 Kementerian dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang terdiri daripada 975,780 (77 peratus) orang pegawai awam daripada jumlah keseluruhan 1,266,474 orang penjawat awam.
“Pengisian profil MyPsyD telah dilaksanakan bermula 1 Mac 2024 sehingga 31 Disember 2024,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Selasa.
Sehubungan itu, Zaliha berkata kerajaan telah mengambil langkah yang strategik untuk mencegah dan menangani isu yang dikenalpasti melalui pendekatan yang menyeluruh.
“Langkah ini termasuk rujukan segera kepada pakar bagi kes yang serius di samping intervensi psikologi melalui psikoterapi dan pemantauan rapi oleh Pegawai Psikologi,” katanya.
Zaliha berkata JPA melalui Bahagian Pengurusan Psikologi (BPPs) juga telah menyediakan pelbagai bentuk latihan kompetensi dan membangunkan Garis Panduan Pengurusan Intervensi Bersepadu, pelan rawatan dan rujukan yang berkaitan bagi memantapkan kualiti dan perkhidmatan psikologi sektor awam selain sumber rujukan sedia ada yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai panduan pengurusan pegawai khususnya dalam isu kesihatan mental.
“Secara keseluruhannya, pelaksanaan saringan kesihatan psikologi MyPsyD merupakan inisiatif kerajaan yang signifikan dalam mengenal pasti risiko psikologi dan kesihatan mental pegawai.
“Keprihatinan JPA dengan sokongan profesional melalui strategi pencegahan dan intervensi awal diyakini dapat mengekalkan kesejahteraan pegawai awam secara holistik dan seterusnya dapat meningkatkan produktiviti mereka sepanjang perkhidmatan,” katanya. – WILAYAHKU