Berita

435 rakyat Malaysia bakal diusir: Kedutaan belum terima notis rasmi

KEDUTAAN Malaysia di Washington DC
- Diterbit 6 Februari 2025 1:59 PM MYT

KEDUTAAN Besar Malaysia di Washington D.C belum menerima sebarang pemakluman rasmi daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengenai laporan 435 rakyat negara ini bakal diusir susulan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam AS (ICE).

Wisma Putra menegaskan, pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi bagi bantuan konsular daripada sejumlah mereka yang terkesan dengan tindakan berkenaan.

“Kita (Wisma Putra) ambil maklum laporan (media) mengenai warga Malaysia yang didakwa berdepan dengan pengusiran di bawah dasar imigresen yang ketat itu.

“Walau bagaimanapun, kita belum menerima sebarang notis rasmi mengenai dakwaan ini,” jelas Wisma Putra dalam kenyataan pada Khamis.

Wisma Putra menambah, pihaknya komited dalam melindungi kepentingan rakyat Malaysia di luar negara serta akan terus memberikan perkembangan terkini mengenai situasi berkenaan.

“Kedutaan serta konsulat Malaysia di AS kekal berhubung rapat dengan pihak berkuasa berkaitan dan terus berinteraksi dengan komuniti Malaysia bagi memastikan kebajikan mereka terjaga serta pematuhan terhadap peraturan imigresen,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, sejumlah 435 rakyat Malaysia disenarai antara 1.44 juta individu bukan warganegara AS menerima arahan akhir pengusiran daripada ICE.

Ia mendapat perhatian susulan kembalinya Donald Trump menerajui White House berikutan usaha pentadbirannya memperketatkan penguatkuasaan imigresen. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas