SERAMAI 42 orang rakyat Malaysia yang berada di Syria dilaporkan selamat.
Menurut Kementerian Luar Negeri, ia terdiri daripada 37 pelajar dan lima rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Konsul Kehormat Malaysia di Syria.
“Kita sedang memantau secara rapat perkembangan terkini di Syria serta implikasinya terhadap kestabilan di rantau Asia Barat.
“Pihak kementerian melalui Konsul Kehormat Malaysia sedang berhubung secara berterusan dengan rakyat Malaysia di negara itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Kementerian Luar Negeri memberitahu, rakyat Malaysia di Syria dan negara berhampiran digalakkan untuk berdaftar melalui E-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my untuk maklumat terkini dan bantuan yang diperlukan.
Katanya, pihak kementerian akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan memberikan maklumat terkini untuk memastikan keselamatan rakyat Malaysia.
Presiden Bashar al-Assad yang juga pemimpin rejim Baath Syria memutuskan untuk meletak jawatan dan meninggalkan Syria selepas kerajaannya digulingkan.
Bashar memerintah Syria sejak 2000 apabila mewarisi kuasa daripada bapanya, Hafez al-Assad.
Sejak 2011, beliau menggunakan pakai tindakan keras terhadap gerakan demokrasi yang bermula dengan protes aman.
Penindasan kerajaannya terhadap protes berubah menjadi perang paling berdarah dan lama sehingga mengorbankan ratusan ribu orang. – WILAYAHKU