Berita

400,000 unit kenderaan EV menjelang 2030

- Diterbit 19 November 2024 11:32 AM MYT

KERAJAAN menjangkakan sekurang-kurangnya 400,000 unit kenderaan penumpang dan perdagangan berkuasa elektrik (EV) diguna pakai di negara ini menjelang 2030.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, ia berdasarkan trend pencapaian yang direkodkan pada tahun lalu dan tahun ini yang merangkumi kenderaan hibrid, hibrid plug-in, kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV).

“Pada 2030, kerajaan menyasarkan untuk mencapai 20 peratus daripada jumlah jualan tahunan kenderaan penumpang dan perdagangan baharu adalah terdiri daripada kenderaan jenis berkuasa elektrik.

“Sehingga 30 September lalu, kadar jumlah jualan tahunan yang dicapai ialah 5.11 peratus atau 33,319 unit manakala bagi keseluruhan 2023, kadarnya ialah 4.12 peratus atau 35,723 unit,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

MITI menjawab soalan Tan Kok Wai (PH-Cheras) mengenai jangkaan penggunaan kenderaan EV menjelang 2030.

Menurut kementerian itu, sungguhpun di bawah Belanjawan 2025 tiada cadangan dari segi peruntukan khusus untuk pembangunan infrastruktur pengecas EV atau CPO disediakan, tetapi terdapat insentif yang diberi semasa Belanjawan terdahulu yang masih dilaksanakan bagi membantu pembangunan infrastruktur pengecas EV.

Di antaranya jelas MITI, ialah program Green Investment Tax Allowance (GITA) di mana Charging Point Operator (CPO) yang memenuhi kriteria galakan cukai boleh mendapat pengecualian cukai dalam bentuk Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus bagi tempoh lima tahun.

Katanya, elaun itu boleh digunakan untuk ditolak sehingga 100 peratus daripada pendapatan berkanun bagi setiap tahun taksiran.

Di samping itu katanya, insentif dalam bentuk pengecualian cukai pendapatan juga sedang
ditawarkan kepada syarikat-syarikat pengeluar EV Charging Equipment iaitu dalam bentuk pengecualian sepenuhnya cukai pendapatan ke atas pendapatan berkanun mulai tahun taksiran 2023 hingga tahun taksiran 2032.

Dalam pada itu jelasnya, bagi menggalakkan penggunaan EV dan pembinaan infrastruktur pengecasan EV di negara ini, antara langkah-langkah berkaitan cukai yang telah diambil ialah pengecualian sepenuhnya duti import dan eksais untuk EV jenis CBU import sehingga 31 Disember 2025.

Katanya, ia termasuk pengecualian sepenuhnya duti import, eksais dan cukai jualan untuk EV yang dikeluarkan dalam negara sehingga 31 Disember 2027.

“Pengecualian sepenuhnya cukai jalan bagi kenderaan jenis BEV dari 2022 sehingga 2025 dan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 bagi kos pemasangan, sewaan, pembelian termasuk sewa beli peralatan atau yuran langganan kemudahan pengecasan EV termasuk di rumah untuk tahun taksiran sehingga 2027,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas