Oleh HAZIRAH HALIM
PENGEMBARAAN Pasport 50WP yang bermula sejak 1 Oktober lalu semakin rancak dan mendebarkan apabila orang ramai berpusu-pusu mendaftarkan diri sebagai peserta untuk bersama-sama menjelajah dan menerokai keunikan serta kepelbagaian 50 lokasi menarik yang terdapat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Menerusi laporan statistik pada 1 November (Rabu) yang dikongsikan oleh Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) kepada Wilayahku menunjukkan sebanyak 40,000 Pasport 50WP telah pun diedarkan ke lokasi-lokasi pickup point di Wilayah Persekutuan.
Berdasarkan perkongsian hantaran di laman Facebook JWP juga didapati, beberapa peserta telah pun menyelesaikan cop untuk keseluruhan checkpoint di Putrajaya.
Malah menerusi hashtag #Pasport50WP peserta turut berkongsi kenangan ketika melaksanakan misi tersebut selain pelbagai promosi dan panduan yang dikongsikan oleh warga kerja JWP bagi memudahkan dan melancarkan misi jelajah.
Lebih menarik, peserta turut mengambil peluang untuk meluangkan masa bersama insan tersayang sambil bersiar-siar menikmati keindahan, keunikan lokasi di sekitar Wilayah Persekutuan.
Salah seorang peserta, Hadirah Halim, 22, berkata dia sangat teruja untuk mengikuti program tersebut kerana ada beberapa lokasi yang belum pernah berpeluang untuk dilawati.
Justeru itu, bagi yang belum mengambil bahagian, anda dialu-alukan untuk menyertai Pasport 50WP yang merupakan program julung kali diadakan. – WILAYAHKU
