Berita

4,000 peserta dari 30 negara berhimpun di Putrajaya

POWERMAN Malaysia Duathlon 2023 terima sambutan luar biasa.
- Diterbit 24 Jun 2023 1:00 AM MYT

BERLANGSUNG di Putrajaya, POWERMAN Malaysia Duathlon 2023 menyaksikan penyertaan tertinggi dengan membabitkan atlet elit, amatur dan junior sekali gus mengekalkan statusnya sebagai acara duathlon terbesar dunia.

Menurut Pengarah Urusan Fresh Events Asia Sdn Bhd, Jeffrey Ross, acara selama dua hari itu menampilkan seramai 4,000 peserta dari 30 buah negara termasuklah Singapura, Thailand, Jepun, Perancis, Kenya, Hong Kong, United Kingdom dan Filipina.

“Sambutan hangat yang diterima bagi edisi kali ini menampilkan penyertaan daripada pelbagai demografik peserta. Penyertaan kali ini adalah lebih menyeluruh dengan membabitkan pelbagai lapisan usia, kerakyatan serta latar belakang peserta.

“Lebih menarik, laluan baharu yang direka sepanjang 80 kilometer (km) di Putrajaya menanti peserta yang jelas perlu berada pada tahap terbaik untuk menghadapi cabaran beraksi dalam cuaca yang agak panas,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Jeffrey Ross berkata selain daripada kategori larian lelaki elit, pengenalan kategori larian wanita elit turut menyemarakkan lagi acara berkenaan dengan tawaran hadiah keseluruhan yang berjumlah lebih RM23,000.

Sebagai rekod, penganjuran acara itu bertujuan untuk mewujudkan suasana yang inklusif serta merapatkan jurang antara atlet profesional dan atlet biasa yang memiliki semangat kecergasan serta ketahanan sukan.

“Dengan menyertai acara ini sebagai peserta ataupun pemerhati, secara tidak langsung mereka boleh terlibat dalam banyak acara termasuklah pameran kesihatan, bengkel interaktif dan peluang berhubung bersama pakar industri serta atlet terkemuka.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta dan juga mereka yang membantu sepanjang menjayakan acara ini. Saya pasti ramai di antara kita sudah lama ternanti-nantikan penganjuran semua acara POWERMAN pada tahun 2023.

“Namun begitu, kami juga sangat berbangga dengan sambutan luar biasa yang diterima selain bersama-sama membuka lembaran baharu dalam kisah POWERMAN Malaysia dengan penganjuran duathlon edisi ke-18 ini,” ujar beliau.

Edisi pada tahun ini menyaksikan Moysan Malo dari Perancis memenangi tempat pertama bagi kategori lelaki elit dengan mencatat masa keseluruhan 02:40:45 dan pemenang wanita elit pula diungguli oleh Mary Joy Tupa dari Filipina dengan catatan masa keseluruhan 03:13:34. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas