SEBANYAK 400 individu dilaporkan mengalami kerugian bernilai RM1 juta membabitkan penipuan Skim Pelaburan Forex yang menjanjikan pulangan pelaburan lumayan.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA), pihaknya memberikan peringatan kepada orang ramai lebih berhati-hati dengan sebarang skim pelaburan.
Katanya, pihaknya sentiasa komited menjaga integriti Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).
“Berikutan peningkatan jumlah kes penipuan terhadap skim pelaburan yang meragukan dan menjanjikan pulangan pelaburan menarik.
“Orang ramai dinasihati agar sentiasa berhati-hati dengan sebelum melakukan pelaburan agar tidak tertipu dengan skim seperti itu,” jelas kenyataan tersebut pada Rabu.
Tambahnya, sebagai pihak berkuasa kawal selia dan penguatkuasaan industri perkhidmatan perniagaan dan kewangan antarabangsa di Labuan, menasihatkan semua pelabur untuk melayari laman web LFSA di www.labuanfsa.gov.my berhubung kemaskini terkini Senarai Makluman Pelabur dan Pemberitahuan Sekatan Perniagaan, sebelum membuat sebarang keputusan kewangan.
Katanya, LFSA sentiasa mengawasi ekosistem kewangan di Labuan dan akan mengenakan tindakan penguatkuasaan bagi sebarang pelanggaran undang-undang dan garis panduan yang ditadbir oleh Labuan FSA terhadap mana-mana individu dan entiti Labuan tanpa kompromi.
“Pendekatan itu akan berterusan dalam memastikan pematuhan dan mengekalkan piawaian kawal selia antarabangsa, dengan pelarasan dibuat mengikut keperluan sejajar penanda aras global.
“Pihak kami telah menyiarkan tindakan penguatkuasaan yang diambil setakat ini di laman web. Selain itu, melalui notis awam itu untuk mengukuh kesan pencegahan langkah penguatkuasaan dan meningkatkan keyakinan sistem kewangan di Labuan IBFC.
“Pada masa yang sama, mempergiat usaha penyeliaan dalam memantau dan mengawal selia entiti yang beroperasi dalam Labuan IBFC, termasuk peningkatan pemeriksaan di tapak, keperluan pelaporan yang dipertingkatkan dan usaha kerjasama dengan pihak berkuasa yang lain,”tambahnya. – WILAYAHKU