SERAMAI 40 orang SATRIA Rakan Muda Kementerian Belia dan Sukan (KBS) turut serta dalam misi bantuan banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kelamah, Gemencheh semalam.
KBS dalam kenyataannya berkata pihaknya melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) telah menyumbang sebanyak 56 set makanan kering.
“Sebanyak 112 unit sleeping bag dan 56 unit tikar sumbangan daripada Decathlon Malaysia Sdn. Bhd. serta 100 set kelengkapan peribadi wanita daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) turut diberikan kepada mangsa yang terjejas,” katanya.
Tambahnya misi ini juga diperkuatkan dengan sokongan logistik daripada Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia.
“Inisiatif ini juga membuktikan komitmen KBS di dalam memberikan bantuan menerusi usaha kesukarelawanan di bawah gaya hidup Rakan Muda iaitu Rakan Prihatin seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.
“Sekiranya orang ramai ingin memberikan sumbangan atau menjalinkan kerjasama, boleh hubungi Bilik Gerakan Banjir Rakan Muda di talian 03-8871 3748/3724 atau e-mel [email protected],” katanya.
Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh turut meluangkan masa melawat mangsa banjir di PPS SK Sungai Kelamah diiringi oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar pada Selasa.
PPS SK Sungai Kelamah menempatkan sebanyak 56 buah keluarga melibatkan 206 orang mangsa. – WILAYAHKU