PAKAR teknologi, Dr Ahmad Wiraputra Selamat menyifatkan langkah empat penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia merupakan satu perkembangan positif dari segi keselamatan dan kesejahteraan.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Komputeran dan Meta Teknologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata kesediaan empat penyedia perkidmatan memohon lesen itu perlu dipuji.
“Ini menunjukkan komitmen mereka ke atas kandungan yang selamat serta sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam mencegah jenayah siber.
“Pasaran pengguna media sosial di Malaysia, merupakan antara yang tertinggi di dunia. Untuk itu, langkah yang mereka lakukan pasti akan membantu mengekalkan operasi yang lancar dan reputasi yang baik di negara ini.
“Tambahan lagi, pihak Meta, Bytedance dan lain-lain boleh terus berinteraksi dengan MCMC dan kerajaan Malaysia demi menambah baik peraturan sedia ada serta meningkatkan kerjasama antara kedua-dua pihak,” katanya.
Menurut Ahmad Wiraputra, undang-undang pastinya ada kelompongan, tetapi pematuhan ke atasnya perlu kerana risiko keselamatan siber akan menjadi bertambah meningkat pada masa akan datang.
Katanya, perlu diingatkan peraturan itu hanya terpakai kepada pengendali media sosial dan bukan ke atas pengguna individu.
“Ia sejajar dengan usaha kerajaan membanteras pelbagai jenayah siber seperti penipuan kewangan, buli siber dan jenayah seksual dalam talian terutama membabitkan kanak-kanak,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Wiraputra berkata, di sebalik komitmen ditunjukkan Meta dan Byedance, masih terdapat penyedia yang belum berbuat demikian wlaupun kerajaan telah menetapkan tarikh akhir pada 1 Januari lalu untuk lebih 8 juta penyedia media sosial di negara ini mematuhi keperluan pelesenan.
Sementara itu, Ahmad Wiraputra berpandangan adalah kedua-dua pihak iaitu MCMC dan penyedia kandungan perlu terus berbincang dan duduk di meja rundingan untuk merungkai segala persoalan. – WILAYAHKU