DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan pindah halangan kepada empat peniaga dalam operasi tindakan khas pindah halangan ke atas penjaja yang membuat halangan di tempat awam di sekitar Jalan Sentosa 8, Lembah Pantai.
Operasi tersebut dilakukan DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Lembah Pantai.
DBKL berkata, sebanyak 4 peniaga telah dikenakan tindakan pindah halangan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 atas kesalahan meletakkan barangan yang berkaitan dengan perniagaan di tempat awam.
“Tindakan penguatkuasaan diambil berdasarkan aduan melalui Integrated System Pengurusan Aduan Awam (iSPAAA) yang diterima.
“Kesemua barangan yang diambil tindakan pindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
DBKL menegaskan akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do,” ujarnya. – WILAYAHKU