LEBIH empat juta penerima golongan belia yang umur 40 tahun ke bawah telah menerima manfaat langsung daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr Santhara J.P berkata, jumlah tersebut belum termasuk bantuan one-off, subsidi upah, bantuan dana PKS dan sebagainya dan ini menunjukkan sebagai bukti kesungguhan kerajaan membantu warga belia dan generasi muda.
“Dalam keadaan menghadapi pandemik Covid-19, kita sedar akan kesulitan yang dihadapi golongan belia dalam menghadapi situasi tersebut dan kita juga sedar bahawa ramai golongan belia terjejas akibat ketidaktentuan ekonomi yang melanda. Menyedari impak dan kesan COVID-19 tersebut, kerajaan telah pun menyusun atur dan merencana semula masa depan ekonomi Negara; yang juga melibatkan asas kepada keperluan dan aspirasi generasi muda.
“Usaha ini sudahpun diterajui oleh kepimpinan kerajaan hari ini dengan pelaksanaan PRIHATIN, Prihatin Tambahan dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Kesemuanya meliputi hasrat menjaga dan memelihara kepentingan seluruh rakyat merangkumi generasi muda,” katanya dalam ucapan di Majlis Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Wilayah Persekutuan Labuan di salah sebuah hotel terkemuka di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi membantu golongan belia dan anak muda untuk merangsang ekonomi negara melalui sektor keusahawan pasca pandemik COVID-19, Kementerian Wilayah Persekutuan bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan telah memperkenalkan “inisiatif rentas Kementerian” iaitu model dan kaedah kerjasama yang lebih kemas dan tuntas iaitu lima Inisiatif Usahawan Muda Kota.
“Inisiatif ini merupakan penyediaan ruang perniagaan (kiosk) kepada 1,122 usahawan anak muda kota di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan reka bentuk yang moden, teratur, kemas dan bersih. Kiosk ini disediakan di 169 lokasi strategik di KL dan Putrajaya.
“Kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan kepada masyarakat Wilayah Persekutuan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini khususnya di Labuan. Antara bantuan tersebut adalah bantuan kit makanan asas khusus untuk warga Labuan yang putus mata pencarian selain penerima bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan pengecualian enam bulan bayaran sewa premis niaga milik Perbadanan Labuan dengan jumlah keseluruhan RM1,036,110 yang memanfaatkan seramai 774 penjaja dan peniaga kecil berlesen,” katanya.
Terdahulu, Santhara menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara peringkat Wilayah Persekutuan Labuan Tahun 2020 kepada pemenang menerusi Kategori Individu Lelaki dan Wanita serta Kategori Pertubuhan Belia.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Labuan, Dato Amir Hussien dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Labuan, Mahanum Fauzi.