Lebih 500 keping kartun dan komik yang dihasilkan 50 karyawan negara
SEBUT sahaja tentang kartun pasti kita semua mempunyai watak kartun yang disukai. Bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak bahkan tidak terkecuali golongan dewasa. Tapi adakah anda semua tahu asal usul sejarah kartun tempatan kita?
Untuk itu, apa kata mari kita luangkan sedikit masa mengunjungi Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKMM) yang terletak di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur kerana banyak kejutan yang menanti anda di sana.
- Sejarah kartun
Di sini dihimpunkan sejarah kartun di Malaysia yang bermula sejak 80-an, yang mana ketika itu, ia hanya bermula dengan lakaran atas kertas dan diterbitkan dalam media cetak.

- Karya kartun popular
Lebih 500 keping kartun dan komik yang dihasilkan 50 karyawan negara dipamerkan. Sebilangan besar daripada koleksi adalah karya asal yang dihasilkan pelukis kartun dan komik tersohor seperti Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat.
- Alatan serta karya lampau
Selain daripada karya lalu, anda juga dapat menyaksikan sebahagian peralatan yang digunakan kartunis untuk melukis pada era lampau. Kesemuanya dipamerkan dengan kemas dan teratur di RKMM.
- Kelas melukis
Bagi anda yang berminat untuk menjadi pelukis komik, terdapat kelas lukisan yang diadakan setiap Sabtu dan Ahad bermula pukul 3 hingga 5 petang. Ia terbuka kepada kanak-kanak dan juga golongan dewasa.
