Berita

4.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah terima SARA RM100 sebulan

- Diterbit 18 Oktober 2024 6:15 PM MYT

SERAMAI 4.1 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan menerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 sebulan pada tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah penerima itu menyaksikan peningkatan berbanding 700,000 penerima tahun ini.

“Untuk tahun 2025, kita akan memberi peningkatan tertinggi bagi STR dan SARA iaitu kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion.

“Peningkatan ini terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, bantuan SARA akan dikreditkan ke dalam MyKAD penerima bermula April 2025 dan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

Katanya, kategori bujang akan menerima STR RM600.

“Penambahan peruntukan RM3 bilion membolehkan kadar maksimum yang diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700.

“Kita akui dan mendengar rungutan tentang kos sara hidup. Lantaran itu, kita mengambil langkah serta kebijakan ekonomi yang merupakan peningkatan peruntukan dan kadar maksimum bantuan tunai yang tertinggi pernah diberikan kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ini juga akan ditambah melalui peningkatan peruntukan bantuan tunai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada RM2.9 bilion berbanding RM2.4 bilion.

Katanya, kadar bantuan kebajikan bulanan kepada rakyat miskin akan ditingkatkan seperti berikut:
– Kadar bantuan warga emas dinaikkan kepada RM600 sebulan berbanding RM500 sebulan.
– Kadar bantuan kanak-kanak keluarga miskin turut dinaikkan iaitu daripada RM200 kepada RM250 seorang bagi anak berusia enam tahun dan ke bawah; serta daripada RM150 kepada RM200 seorang bagi anak lingkungan usia tujuh hingga 18 tahun; tertakluk kepada kadar maksimum RM1,000 sekeluarga.

Jelas beliau, untuk Wilayah Persekutuan, kadar bantuan am dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 dengan kadar maksimum sekeluarga sebanyak RM500 sebulan.

“Saya menyeru semua kerajaan negeri untuk turut menambah baik kadar bantuan am negeri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas