BAGI memastikan warga Wilayah Persekutuan mencapai sasaran imuniti kelompok seawal Ogos ini, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) meneruskan pelaksanaan fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, seramai 33,800 individu menerima vaksin mulai hari ini hingga 26 Jun.
“Program ini melibatkan golongan individu yang berisiko tinggi untuk dijangkiti COVID-19 termasuk peniaga, pekerja di pasar harian serta penjaja, kawasan industri, penempatan gelandangan, Projek Perumahan Rakyat (PPR), Majlis Tindakan Ekonomi Negara (PPR MTEN), Perumahan Awam (PA) DBKL dan kampung-kampung tradisi,” katanya menerusi kenyataan media.

Menurut Annuar, Fasa kedua ini melibatkan 22 lokasi antaranya Pasar Borong Kuala Lumpur, Pasar Harian Selayang, lapan Kawasan industri, tujuh PPR MTEN/PA DBKL, pusat penempatan gelandangan di Pusat Komuniti Setiawangsa, Desa Aman, Desa Tasik, Kampung Sungai Penchala dan Kampung Padang Balang.
“Dengan kapasiti 600 dos vaksin sehari bagi setiap lokasi yang menggunakan keseluruhan 13 trak vaksin bergerak merangkumi 52 doktor, 104 jururawat (petugas perubatan) dan lebih 150 petugas pentadbiran (bukan perubatan) akan dapat mencapai sasaran 80 peratus warga WP Kuala Lumpur divaksinasikan menjelang Ogos 2021,” jelasnya mengenai pelaksanaan fasa kedua Program Vaksinasi Bergerak.
Sementara itu, beliau berkata, inisiatif ini adalah lanjutan daripada Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah yang telah dilaksanakan pada 7-13 Jun 2021 yang lalu.
“Dalam tempoh tersebut, 24,500 dos vaksin telah diberikan kepada kumpulan sasar di WP Kuala Lumpur. Kejayaan ini sekaligus mendapat kebenaran daripada pihak CITF untuk meneruskan Program Vaksinasi tersebut.
“Pelaksanaan ini dilakukan untuk meningkatkan tahap kesiapsagaan dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada warga WP Kuala Lumpur bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, KWP mensasarkan 40 trak dengan 33,000 suntikan vaksin dalam sehari bagi program ini untuk dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur termasuk Putrajaya dan Labuan.
“Sasaran itu mampu dicapai menerusi pertambahan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega selain PPV di klinik dan hospital swasta serta vaksinasi melalui Program Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah,” jelasnya.
Bagaimanapun, beliau turut mengucapkan kejayaan program vaksinasi ini adalah hasil kerjasama strategik KWP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (BKL) dan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) serta jabatan dan agensi kerajaan yang lain.
“Pelaksanaan program ini juga mendapat sokongan teknikal dan logistik daripada pelbagai pihak Termasuk para sukarelawan (PriVo) serta Persatuan-Persatuan Penduduk/Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan yang bersama-sama berganding bahu dalam menjayakan program ini. – WILAYAHKU – HAZIRAH HALIM