Berita

379 jemaah umrah terkandas: Polis tahan pasangan suami isteri pemilik syarikat pelancongan

- Diterbit 16 Januari 2025 10:53 AM MYT

POLIS bertindak menahan sepasang suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat travel & tours susulan 379 jemaah yang berurusan dengan syarikat terbabit terkandas untuk mengerjakan umrah, semalam, melibatkan anggaran kerugian RM2.1 juta.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan terhadap pasangan terbabit, masing-masing berusia 31 tahun, dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada pukul 7 malam tadi di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas beberapa komputer, pasport dan dokumen berkaitan untuk tujuan siasatan.

“Semalam pada pukul 10.39 malam, JSJK IPK Selangor menerima satu laporan polis di daerah Sepang berkaitan kes penipuan umrah melibatkan syarikat travel & tours terbabit.

“Mangsa yang berusia 39 tahun merupakan pekerja swasta mengalami kerugian RM11,000 terkandas untuk mengerjakan umrah bertarikh 14 Januari,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Hussein memberitahu, pihaknya telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Terkini sebanyak tujuh laporan diterima.

“Hasil siasatan awal, syarikat tersebut mula menjalankan perniagaan sejak 2022. Namun telah berpindah di sebuah premis tiga tingkat dalam daerah Sepang, Selangor sejak Oktober tahun lalu,” katanya.

Tambah beliau, modus operandi yang digunakan oleh suspek untuk memperdaya mangsa melalui iklan di aplikasi TikTok tentang pakej umrah dan berhubung dengan ejen yang dilantik oleh pihak syarikat.

Justeru katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan pakej umrah yang ditawarkan terutama di media sosial.

“Untuk pengesahan lanjut kesahihan syarikat yang menjalankan pakej umrah, orang ramai boleh membuat semakan dengan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas