Berita

3,451 individu terima ubat pencegahan HIV

- Diterbit 20 Mac 2024 12:38 PM MYT

SERAMAI 3,451 individu telah menerima pemberian ubat Pre-Exposure Prophylaxis (PrEPGov) untuk pencegahan HIV dimulakan pada Januari 2023.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefli Ahmad berkata menerusi projek rintis ini setiap klien yang mengambil PrEP perlu menghadiri kaunseling pengurangan risiko pada setiap janji temu iaitu pada janji temu bulan pertama, bulan ketiga, bulan ke-enam dan bulan ke-12 dan setiap enam bulan selepas itu.

“Sehingga 11 Januari 2024, seramai 3,451 individu telah menerima PrEP melalui program ini dan berdasarkan analisis awal, sehingga bulan ke-enam dan kedua belas penggunaan PrEP terdapat penurunan kadar jangkitan penyakit Syphilis iaitu daripada 11 peratus kepada 6.5 peratus selepas enam bulan dan 1.3 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP;

“Peratus klien yang sentiasa menggunakan kondom meningkat daripada 30 peratus kepada 38.6 peratus selepas enam bulan dan 44 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP,

“Peratus klien yang mempunyai hanya satu pasangan seksual (monogamous) juga meningkat daripada 7.2 peratus kepada 19.4 peratus selepas enam bulan dan 29.6 peratus selepas 12 bulan penggunaan PrEP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Dzulkefly, terdapat 51 klien yang telah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko.

“Terdapat tiga kes positif HIV (0.09 peratus), kerana pengguna tidak patuh kepada pengambilan PrEP. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain yang melaksanakan PrEP lebih awal,” katanya.

Tambah Dzulkefly, hasil dapatan awal kajian ini menunjukkan bahawa klien yang mengambil PrEP mematuhi dan mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV melalui penggunaan kondom secara konsisten dan perubahan tingkah laku yang lebih baik, walaupun sedang menggunakan PrEP.

Menurut Dzulkefly, program PrEP ini telah diperluas daripada 18 Klinik Kesihatan ke 21 Klinik pada tahun 2023, dan seterusnya akan diperluas kepada 10 buah Klinik Kesihatan lagi pada tahun 2024.

“Ini menjadikan keseluruhan Klinik Kesihatan yang terlibat dalam Program PrEP pada tahun 2024 adalah sebanyak 31 buah Klinik Kesihatan di 14 buah negeri,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 23 – 24 Julai 2023 telah mengeluarkan fatwa hukum harus bagi pengamal perubatan memberikan PrEP untuk mencegah penularan HIV.

“Walau bagaimanapun, individu yang mengambil PrEP untuk menggalakkan dirinya melakukan seks bebas atau songsang adalah haram. Fatwa ini telah diperakukan dalam Persidangan Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil 5 / 2023 pada 2 Oktober 2023,

“Berpegang kepada prinsip “Health For All” dan keadaan mendesak dalam usaha negara mencegah penularan HIV, adalah amat penting program PrEP ini dapat dilaksanakan dan diperluaskan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas