SEJUMLAH 34 notis kesalahan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Labuan menerusi Operasi Bersepadu Undang-Undang Kesihatan Awam (OSKA) membabitkan nilai kompaun RM9,400.
Pengarah JKN Labuan, Dr Francis Paul berkata, penguatkuasaan tersebut menumpu kepada empat akta utama.
Ia melibatkan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852); Akta Makanan 1983 (Akta 281); Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Akta 154) serta Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Beliau memberitahu operasi melibatkan pemeriksaan di 161 lokasi termasuk premis perniagaan, kawasan larangan merokok, premis makanan dan fasiliti awam di Labuan.
“Pada operasi ini kita mengeluarkan 34 notis kesalahan dengan nilai kompaun RM9,400.
“Ini membabitkan 17 notis mengikut kesalahan di bawah Akta Kawalan Merokok, Akta Makanan 1983 (13 notis) dan sebuah premis makanan diarah tutup susulan tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan secara tegas bahawa operasi akan terus diperketat bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang kesihatan awam serta kesejahteraan masyarakat terpelihara. – WILAYAHKU