Berita

333 individu dicekup

- Diterbit 30 Ogos 2024 3:50 PM MYT

SERAMAI 333 orang berjaya ditangkap oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Labuan membabitkan lelaki dan beberapa wanita disyaki terlibat dengan kegiatan penyalahgunaan dadah sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Supritendan Mohd Hamizi Halim, tangkapan itu turut melibatkan rampasan seberat 368.21 gram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM24,000.

Katanya, antara jenis dadah yang berjaya dirampas termasuklah 337.48 gram syabu, 21 gram ganja dan 9.73 gram pil ekstasi.

“Operasi dan tangkapan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) itu juga telah menyita pelbagai aset hasil kegiatan dadah bernilai RM44,156.50.

“Kesemua mereka ditangkap mengikut Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta 1988),” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Jelasnya, pihaknya sentiasa memandang serius kegiatan penyalahgunaan dadah khususnya pengedar dadah yang berlaku di pulau ini.

“Pihak PDRM sentiasa komited untuk membanteras kegiatan ini secara berterusan terutamanya untuk menangkap pengedar dadah yang aktif di pulau ini,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas