Berita

33 kes disyaki mpox adalah negatif, satu tunggu pengesahan – Dr Dzulkefly

- Diterbit 28 Ogos 2024 2:11 PM MYT

MENTERI Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan kesemua 33 kes mpox atau cacar monyet yang disyaki di Malaysia setakat hari ini adalah negatif dan satu kes (baharu) ditunggu pengesahan.

Dzulkefly dalam satu kenyataan di platform X berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkordinasi dengan perwakilan Malaysia (Kedutaan dan Misi) di seluruh dunia.

“Tujuannya adalah untuk hebahkan maklumat kepada pengembara Malaysia supaya mematuhi ‘guidelnes’ (garis pandaun) yang telah ditetapkan oleh KKM.

“Saya akan keluarkan kenyataan akhbar esok (hari ini) mengenai langkah preemptif seterusnya untuk pertingkat kesiapsiagaan bagi menghadapi ancaman kes mpox.

“Buat masa ini, di luar Congo, terdapat satu kes masing-masing di Thailand, Sweden, Singapura (13 kes),” katanya.

Kes mpox di Malaysia kekal sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November tahun sama.

Sementara itu, dari Disember 2023 hingga masa ini, tiada kes mpox direkodkan di negara.

Dalam pada itu, KKM dalam satu kenyataan berkata sejak 16 hingga 27 Ogos lepas, hampir 2.64 juta pengembara telah melalui saringan bagi gejala mpx di pintu masuk antarabangsa dan setakat ini tiada kes yang disyaki mpox. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas