LABUAN – Seramai 326 pelajar Malaysia Universiti Sabah Kampus Antarabangsa Labuan ( UMSKAL) telah dihantar pulang ke Semenanjung menaiki dua penerbangan Malaysia Airlines hari ini.
Daripada jumlah itu, 160 pelajar merupakan kumpulan pertama yang bertolak pada pukul 2.45 petang dan disusuli kumpulan kedua iaitu 166 pelajar yang bertolak pada pukul 6.45 petang.
Semua pelajar dibekalkan topeng muka dan ‘hand sanitizer’ sebelum memulakan perjalanan pulang selain melakukan ujian saringan (swab test) pada minggu lepas dan menjalani kuarantin wajib.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan, Dr Fary Akmal Osman berkata, pegawai Jabatan Kesihatan telah memeriksa semua pelajar tersebut dan memastikan mereka semua sihat secara perubatan sebelum diberikan pelepasan untuk melakukan perjalanan.
“Mereka (pelajar) disambut pihak berkuasa sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan membantu pulang ke kampung halaman masing-masing di Kuala Lumpur, Pahang, Johor dan Perak,” katanya ketika ditemui hari ini.
Fary berkata, penerbangan pulang hari ini telah diselaraskan Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Labuan dan pegawai UMSKAL.
“Bagi mereka yang berasal dari Sabah, akan dihantar pulang dengan menggunakan perkhidmatan bas tidak lama lagi,” katanya. – WILAYAHKU