SERAMAI 3,000 peserta dari seluruh semenanjung Malaysia menyertai acara JAWI Run 2023 yang diadakan di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Dianggarkan seawal pukul 5.30 pagi lagi peserta-peserta yang terdiri daripada golongan remaja, belia, ahli-ahli kariah masjid dan surau sekitar Kuala Lumpur termasuk mereka yang bukan beragama Islam (non-muslim) sudah tiba awal di lokasi berkenaan.
Acara yang dijadualkan bermula tujuh pagi itu dimulakan dengan pelepasan Flag Off bagi peserta larian 5 kilometer (KM) dan diteruskan dengan pelepasan Flag Off bagi larian 3KM.
Pelepasan itu telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Perseketuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Salah seorang peserta berbangsa Cina yang mahu dikenali sebagai Rachel berkata dia begitu teruja apabila diberi peluang untuk menyertai acara larian bersama dua orang anak termasuk rakannya.
“Kami datang daripada Kepong seawal pukul enam pagi lagi dan hari ini saya bersama anak masuk larian sejauh 5KM.
“Walaupun saya berbangsa Cina tetapi saya sangat seronok kerana bukan sahaja dapat meluangkan masa berseronok bersama mereka malah saya juga dapat membawa terlibat sama dalam aktiviti sihat seperti ini.
“Agak letih sebab saya sudah lama tidak menyertai acara larian seperti ini tapi apa apa pun ia sangat best kerana kami juga dapat baju, sijil, trofi dan juga makanan yang disediakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Rachel juga berpandangan bahawa kolaborasi JAWI Run bersama program KL Car Free Morning anjuran DBKL pada setiap Ahad adalah langkah terbaik bagi menambahkan semangat peserta selain memeriahkan suasana acara berkenaan.
“Saya harap acara ini akan diteruskan pada masa hadapan kerana ia mengalakkan masyarakat untuk menjalani gaya hidup sihat melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan,” kongsinya.
Selain larian, JAWI Run 2023 anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu turut mengadakan acara cabutan bertuah seperti hamper, telefon bimbit dan banyak lagi. -WILAYAHKU.