Berita

3,000 bubur lambuk ‘licin’ di PICC

- Diterbit 12 Mac 2024 6:32 PM MYT

SEBANYAK 3,000 bungkus bubur lambuk diberikan secara pandu lalu kepada komuniti Putrajaya bertempat di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

Pengagihan bubur lambuk yang bermula pada pukul 3.30 petang di Lobi Aras Mezzanine, PICC itu ‘licin’ dalam masa dua jam.

Ketua Eksekutif Kumpulan PULSE Group, Mahmad Anuar Othman berkata pengedaran bubur lambuk sudah menjadi tradisi setiap tahun di PICC sejak 2015.

“Amalan bersedekah sempena bulan mulia ini akan diteruskan pada masa akan datang kerana ianya telahpun menjadi tradisi.

“Semestinya, berbuka puasa tidak berasa lengkap sekiranya tiada pencuci mulut kegemaran ramai iaitu bubur lambuk. Ianya adalah salah satu menu pencuci mulut bagi Cita Rasa Klasik Bufet Ramadan kami setiap tahun. Bubur lambuk istimewa ini disediakan khas oleh barisan chef-chef kami yang berpengalaman,” katanya.

Mahmad Anuar berkata seramai 150 petugas turut terlibat.

“Resipi bubur lambuk PICC ini mengandungi campuran pelbagai jenis rempah ratus, kentang dan daging yang dimasak boleh barisan chef-chef dan kakitangan Pengurusan PULSE Group dan PICC.

“Sejumlah 150 kilogram (kg) beras dan lebih 15 kg daging kisar digunakan sebagai ramuan utama dalam bubur lambuk yang dimasak dalam enam periuk,” ujarnya.

Tambah Anuar, program pengagihan bubur lambuk ini adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PULSE Group danCo-X yang bertujuan untuk mendekati masyarakat dan berkongsi kemeriahan bulan yang mulia ini.

“Selain itu, matlamatnya adalah untuk meningkatkan hubungan antara kakitangan, pengurusan tertinggi dengan komuniti Putrajaya.

“Oleh itu, saya berharap amalan seperti ini juga akan mendorong mereka yang tidak mampu untuk memberi sedekah sepanjang bulan Ramadan ini,” katanya program kali ini merupakan kerjasama antara Putrajaya Leisures & Services Group Sdn Bhd (PULSE Group) dan anak syarikat iaitu Convention & Exhibition (Putrajaya) Sdn Bhd (Co-X).

Terdahulu, PICC dan kakitangannya telah mengedarkan ‘Cita Rasa Klasik Bubur Lambuk’ buat komuniti Putrajaya sempena 1 Ramadan 1445 Hijrah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas