SEBANYAK 51 laporan polis diterima sejak awal tahun ini berkaitan skim pelaburan mata wang asing (Forex) rentas sempadan yang ditawarkan sebuah syarikat membabitkan 300 mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, ia melibatkan nilai kerugian keseluruhan RM11,990,768.
Menurut beliau, siasatan setakat ini mendedahkan skim itu didalangi beberapa individu dari negara ini dan Indonesia serta menggunakan syarikat PT. Sentratama Investor Future beralamat di republik berkenaan.
Syarikat itu katanya, berperanan sebagai broker menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat.
“Dua syarikat lain turut dikenal pasti terlibat dalam mempromosikan skim pelaburan ini secara bersemuka kepada pelabur.
“Dua individu pula iaitu seorang warga Indonesia dan seorang warga tempatan disyaki terlibat dengan skim yang sama telah ditahan pada 9 September dan 25 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ramli berkata, kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan penipuan.
Katanya, mana-mana individu yang mungkin telah menjadi mangsa sindiket tersebut dinasihatkan untuk tampil segera membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran.
“Dalam usaha untuk membanteras kegiatan penipuan pelaburan, polis mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dan melaksanakan semakan lebih terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan terutama yang menjanjikan keuntungan yang terlalu lumayan.
“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber-sumber rasmi seperti portal Semakmule CCID, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai apa jua skim pelaburan,” katanya. – WILAYAHKU