SERAMAI 300 orang murid dari keluarga kurang berkemampuan menerima sumbangan persekolahan berbentuk sebuah beg, set peralatan alat tulis serta sumbangan wang tunai.
Menurut Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, program tersebut bertujuan meraikan murid-murid agar memulakan musim persekolahan dengan penuh ceria.
Beliau berkata, ia sekali gus meringankan beban ibu bapa, memberi penghargaan dan sokongan kepada masyarakat di Parlimen Bandar Tun Razak.
“Program ini adalah ilham dan keprihatinan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Wan Azizah yang mahukan kelainan kepada penerima sumbangan yang merupakan murid-murid Tingkatan 5 bagi tahun 2025.
“Beg sekolah yang diterima direka khas dengan nama masing-masing, tingkatan terkini, logo sekolah, dan logo Malaysia Madani. Rekaan unik ini bukan sahaja memberi kelainan tetapi juga menjadi kenang-kenangan berharga selepas mereka menamatkan persekolahan,” katanya semasa berucap dalam program yang diadakan di Dewan Sekolah SMK Alam Damai.

Tambahnya Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak telah memperuntukkan sebanyak RM450,000 bagi menjayakan program Back To School yang merupakan antara acara tahunan yang diadakan setiap kali tiba musim cuti persekolahan .
“Murid-murid tersebut juga merupakan antara 2,000 orang penerima sumbangan khas Tingkatan 5 yang telah diadakan sebelum ini di Dewan Mastika Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada 13 Februari lepas,” ujarnya.
Terdahulu, telah berlangsungnya program sama di SMK Orkid Desa yang
disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. – WILAYAHKU