SERAMAI 30 murid sekolah rendah dalam kalangan keluarga B40 di Labuan menerima bantuan cermin mata menerusi program Eyes For School 2 sekali gus membantu masalah penglihatan yang dialami.
Bantuan yang melibatkan 15 sekolah tersebut mendapat tajaan penuh Persatuan Lion Club of Labuan Mandarin dilihat dapat mengatasi masalah kurang fokus dalam pembelajaran.
Menurut Pengerusinya, Chia Sia Theng, program tersebut turut memastikan murid terpilih mempunyai akses kepada perkhidmatan kesihatan mata.
“Diharapkan bantuan ini dapat memberikan penglihatan yang lebih baik kepada murid yang kurang berkemampuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, sesi penyampaian bantuan disempurnakan Ketua Penolong Pengarah, Unit Hal Ehwal Murid Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Labuan, Zaliha Mohd Salleh.
Sementara itu, Zaliha menzahirkan ucapan terima kasih kepada Lion Club of Labuan Mandarin kerana menyediakan inisiatif tersebut kepada murid terlibat agar kekal bermotivasi untuk meneruskan pembelajaran dengan selesa.
“Pihak Jabatan Pendidikan Labuan amat menghargai sumbangan cermin mata yang diberikan. Semoga dengan bantuan ini, murid-murid lebih semangat dan kekal fokus dalam pembelajaran kelak,” katanya. – WILAYAHKU